Siakap Keli
Gambar hiasan via Google

Jaga-Jaga, Ada Yang Mengandungi Sulfur Dioksida, Pakar Kongsi 5 Tips Pilih Limau Mandarin Yang ‘Sihat’

Menjelang sambutan Tahun Baru Cina, biasanya makanan yang cukup popular disaji atau diberi kepada rakan-rakan mahupun jiran tetangga ialah limau mandarin. Siapa je yang tak suka makan limau mandarin, kan?

Rasanya yang sedap, masam-masam manis berlemak, berjus dan mudah dikupas menjadikannya sebagai makanan paling digemari sebahagian besar rakyat Malaysia. Namun, ada satu perkara yang perlu diambil berat.

Menurut seorang ahli teknologis makanan yang gemar berkongsi ilmu di Facebook iaitu Sazly Tulih (gambar), terdapat sebahagian buah limau mandarin disalut dengan sulfur dioksida yang boleh menyebabkan batuk.

Macam mana salutan itu? Adakah ia dibolehkan mengikut piawaian pemakanan negara kita? Oleh itu mari kita ikuti perkongsiannya di bawah ini. Semoga bermanfaat!

Limau Mandarin, Batuk dan Sulfur Dioksida

Gambar hiasan via Sazly Tulih

Sambutan Tahun Baru Cina dah semakin hampir, mesti anda semua dah dapat hadiah limau mandarin yang dihadiahkan oleh rakan-rakan atau beli sendiri di kedai buah atau pasaraya.

Buahnya manis dan sedapkan.. Tapi pernah tak anda makan buah limau mandarin ni dan batuk teruk? Saya pernah mengalaminya, tapi dah lama laaa, 15 tahun yang lepas. Tapi tahukah anda apa puncanya?

Hasil siasatan yang dibuat, saya dapati limau mandarin yang saya makan telah disalut dengan sulfur dioksida. Buah limau mandarin direndam dengan bahan kimia ini bertujuan sebagai bahan pengawet bagi memanjangkan jangka hayat buah tersebut sebelum dipasarkan.

Walau bagaimanapun, oleh kerana saya mempunyai penyakit lelah menyebabkan saya mendapat gejala batuk dan lelah berpanjangan. Kesian kan.

Sebenarnya di dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 membenarkan penggunaan sulfur dioksida sebagai bahan pengawet dalam makanan tertentu termasuk buah-buahan segar seperti limau mandarin namun pada kadar tidak melebihi 30mg/kg.

Sulfur dioksida telah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan pada kadar tertentu oleh badan penilai antarabangsa Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additive (JECFA).

Tidak berbahaya, tetapi..

Sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kadar yang dibenarkan tetapi ia boleh menyebabkan lelah terhadap orang yang sensitif apabila terhidu atau tertelan.

Jika ada penggunaan Sulfur Dioksida dalam buah limau mandarin, di bawah subperaturan 20(6) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, setiap bungkusan makanan untuk jualan termasuk limau mandarin yang ditambah sulfur dioksida lebih daripada 10mg/kg, mesti dilabel dengan pernyataan “mengandungi sulfur dioksida”.

Sesiapa yang gagal mematuhi peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM 5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.

Di bawah subperaturan 11(1) (j), Peraturan-Peraturan Makanan 1985, bagi makanan import termasuk limau mandarin, nama serta alamat pembungkus dan pengimport, termasuk nama negara dari mana makanan itu berasal hendaklah dinyatakan pada label.

Kalau ada sesiapa yang membuat pelabelan palsu boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau denda atau kedua-duanya seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 16, Akta Makanan 1983.

Saya kongsikan tips nak makan limau manderin supaya tak batuk:

  1. Basuh la kulit limau manderin tu sebelum makan.
  2. Jangan gigit kulit limau bagi mengupas buah tersebut.
  3. Selepas mengupas kulit limau, cucilah tangan.
  4. Jangan makan kulit limau. Makan isinya sahaja.
  5. Suruh je orang lain kupaskan.

Diharapkan tips ini berguna kepada anda semua. Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2022 dari Sazly Tulih.

#sazlytulihjer #foodsafetyfirst

Sumber: Facebook Sazly Tulih

Faiz Mustafa