Siakap Keli
Gambar: healthline.com

Alah Dengan Bau Minyak Wangi, Kenali Ciri & Cara Atasi Masalah Ini

Siapa sahaja yang tidak suka memakai minyak wangikan? Penggunaan minyak wangi bukan sahaja membuatkan kita rasa yakin malah ia juga mampu membuatkan kita sentiasa kekal harum dan wangi sepanjang hari.

Namun demikian, tahukah anda bahawa ada segelintir individu yang dilihat mempunyai alahan terhadap minyak wangi. Alahan yang dimaksudkan boleh datang dalam bentuk sakit kepala, alergik kulit, mual-mual dan macam-macam lagi.

Alahan yang dilihat mungkin selalu berlaku dalam kalangan individu adalah sakit kepala. Oleh itu, mungkin ada antara anda yang ingin mengetahui cara bagaimana untuk mengatasi alahan ini.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, boleh ikuti perkongsian daripada laman kesihatan Hello Doktor di bawah.

Gambar: healthline.com

Alah Dengan Bau Minyak Wangi, Kenali Ciri & Cara Atasi Masalah Ini

Aduh, peningnya kepala lepas bau minyak wangi orang sebelah ini! Tapi, macam mana nak elak daripada terbau perfume orang lain, lebih-lebih lagi jika kita mengalami alahan minyak wangi?

Tahukah anda, sebotol minyak wangi mengandungi 14 jenis bahan kimia berbeza yang boleh mencetuskan alahan?

Bahan kimia yang berbeza ini boleh mencetuskan masalah besar bagi mereka yang mengalami asma atau masalah pernafasan lain. Individu yang mempunyai alahan juga sangat sensitif terhadap bau perfume.

Walau bagaimanapun, tidak seperti debunga atau bulu haiwan, minyak wangi bukanlah sejenis alergen.

Namun, ia mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan iritasi.

Sebab itulah, orang yang mengalami alahan dan asma boleh mengalami simptom-simptom seperti bersin dan hidung berair selepas terbau minyak wangi.

Sebenarnya, alahan terhadap minyak wangi bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Alahan pewangi ini berlaku terhadap 1% orang dewasa di seluruh dunia. Dalam kalangan kanak-kanak dan remaja pula adalah di sekitar 1.8%.

Barang apa yang mengandungi pewangi?

Kredit: Hello Doktor

Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Preventive Medicine Reports, alahan bau minyak wangi merupakan sesuatu yang lazim berlaku. Malah, alahan ini juga mungkin serius dalam sesetengah orang.

Hampir satu pertiga daripada responden kajian ini melaporkan mengalami masalah kesihatan jika terdedah pada pewangi pada satu tempoh masa yang panjang.

Ramai yang sangka hanya minyak wangi sahaja yang boleh mencetuskan sensitiviti terhadap individu yang mengalami alahan.

Namun, ramai yang terlupa bahawa produk yang kita gunakan setiap hari juga mengandungi pewangi. Oleh sebab itu, individu yang mengalami alahan terhadap bau minyak wangi mungkin akan alami alergi terhadap produk-produk lain.

Sebagai contoh, pewangi juga boleh didapati di dalam:

  1. Produk penjagaan diri seperti sabun, losen, syampu, deodoran dan tuala wanita.
  2. Produk pembersih rumah seperti pencuci baju, softener, pewangi udara, lilin dan kadangkala, tisu tandas.
  3. Perisa yang ditambah ke dalam makanan serta minuman, gincu dan ubat gigi.
  4. Ubat-ubatan tertentu lebih-lebih lagi ubat sapu.
  5. Minyak pati yang mengandungi pewangi.

Selain itu, individu yang mempunyai masalah alahan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami alergi terhadap minyak wangi.

Apa yang perlu dilakukan jika anda mempunyai alahan bau minyak wangi?

Kredit: Hello Doktor

Buat masa ini, masih belum ada penawar untuk kondisi ini.

Satu-satunya cara untuk mengelakkan alahan minyak wangi adalah dengan cara mencegah alergen tersebut atau mengambil ubat-ubatan untuk mengawalnya.

Walau bagaimanapun, bukan mudah untuk mengelakkan diri daripada terdedah dengan pewangi. Ia merupakan satu bahan yang digunapakai secara meluas di dalam produk yang kita gunakan setiap hari.

Namun, ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan pendedahan terhadap bau minyak wangi. Antaranya ialah:

  1. Elakkan kawasan yang dipenuhi orang ramai, terutamanya kawasan yang dipenuhi orang yang memakai minyak wangi dengan kuat. Sama jugalah jika anda pergi ke pusat membeli belah, elakkan lalu di tempat menjual minyak wangi.
  2. Letakkan air purifier berdekatan untuk pastikan tempat kerja anda bebas daripada sebarang partikel yang boleh menyebabkan simptom.
  3. Jangan gunakan produk yang mengandungi pewangi. Walaupun sukar, cuba cari produk yang bebas pewangi. Ini termasuklah lilin dan pewangi bilik.
  4. Dapatkan suntikan flu setiap tahun untuk pastikan sistem imun terus kuat.
  5. Pastikan semua orang tahu mengenai alahan anda. Jangan rahsiakan kondisi anda daripada ahli keluarga, kawan-kawan dan teman sekerja.

Alahan bau minyak wangi, bagaimana untuk atasinya?

Kredit: Hello Doktor

Pada zaman ini, memang sukar untuk mengelakkan pewangi di tempat kerja.

Walau bagaimanapun, penghidap alahan ini akan menghadapi masalah seperti migrain, selesema dan bersin di tempat kerja sehingga ia mengganggu produktiviti.

Untuk mengatasi masalah ini, ada beberapa langkah yang boleh anda lakukan.

Pertama sekali, cuba pakai pelitup muka semasa kerja. Malah, pada waktu COVID-19 ini, pemakaian pelitup muka amat penting untuk mencegah penyebaran virus.

Dalam masa yang sama, ia juga boleh melindungi anda daripada sebarang alergen yang terkandung dalam minyak wangi.

Selain itu, cuba berehat sebentar dan ambil udara sedar di luar tempat kerja.

Kadangkala, walaupun dengan bantuan pelitup muka dan air purifier, kita tidak dapat lari daripada bau wangian di tempat kerja.

Oleh sebab itu, cuba ambil udara segar di luar tempat kerja jika keadaan di dalam pejabat terlalu sesak dan boleh menyebabkan simptom anda muncul semula.

Akhir sekali, berterus teranglah dengan rakan sepejabat mengenai kondisi anda. Terangkan kepada mereka bahawa anda mempunyai alahan minyak wangi yang teruk dan tidak boleh terhidu bau-bauan yang kuat.

Kesimpulan

Dianggarkan hampir 2,500 bahan yang berbeza digunakan di dalam minyak wangi dan juga produk lain seperti kosmetik, sabun pencuci baju dan banyak lagi barang-barang kegunaan harian yang lain.

Pewangi ini juga kadangkala boleh menyebabkan iritasi dan juga alahan kepada mereka yang sensitif.

Jika anda mengalami masalah ketika terbau minyak wangi, pastikan anda mendapatkan pemeriksaan pakar secepat mungkin.

Walaupun nampak tidak berbahaya, alahan pewangi boleh menyebabkan pelbagai masalah pada masa hadapan. Ia pasti akan mengganggu kehidupan peribadi serta prestasi kerja penghidapnya.

Sumber: Hello Doktor

 

Nadhirah