Siakap Keli
Gambar via Bernama

Kadar Tinggi Kematian Penyu Di Terengganu

Persatuan Pemuliharaan Pulau Kapas Terengganu ingin melahirkan rasa sedih dan prihatin terhadap peningkatan kes kematian penyu di Terengganu. Setakat hari ini, 11 kes penyu dijumpai mati dilaporkan di Terengganu dan kadar kematian ini amat membimbangkan.

2. Pada 22 Januari lalu, kes pertama penyu mati ditemui di Pulau Kapas dilaporkan. Bangkai penyu agar jantan dewasa berukuran 80 cm x 69 cm tersebut ditemui terapung oleh seorang pemandu bot pelancong hanya 50 meter dari pantai pulau. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami mendapati banyak penyu agar muda dan dewasa yang tinggal di sekitar pulau ini dimana mereka mencari makanan, membiak dan bertelur.

3. Keesokan harinya 6 km dari pulau ini, seorang penduduk tempatan yang melawat Pantai Kelulut di Marang melaporkan kelibat penyu yang terdampar. Jabatan Perikanan Terengganu dimaklumkan dan pergi mengambil bangkai untuk menyiasat punca kematian. Didapati penyu agar betina dewasa berukuran 80cm x 76cm ini termakan sisa plastik yang menyebabkan kematiannya.

4. Pihak persatuan ingin merakamkan ucapan terima kasih atas maklum balas segera Jabatan Perikanan Terengganu terhadap laporan-laporan penyu yang terdampar. Kami percaya setiap kes penyu mati mesti disiasat secara saintifik untuk menentukan punca kematian supaya kita dapat melihat dengan jelas gambaran sebenar dan punca situasi sedih ini.

5. Kami amat bimbang tentang ancaman yang dihadapi oleh spesies terancam ini kerana bilangan populasi mereka semakin berkurangan saban tahun. Kami percaya dengan kerjasama antara badan kerajaan, universiti, komuniti nelayan dan NGO pemuliharaan, kita semua boleh meletakkan usaha ke arah mencari penyelesaian kepada masalah yang membimbangkan ini.

6. Pihak persatuan juga menyokong sepenuhnya gesaan Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu Dr Mohd Uzair Rusli untuk membentuk jawatankuasa khas bagi memperkasakan usaha konservasi penyu kita.

7. Persatuan kami ingin menggesa orang ramai untuk membantu melaporkan sebarang kemunculan penyu yang terdampar kepada Jabatan Perikanan Negeri. Kami juga menggalakkan orang ramai untuk berkongsi kebimbangan mereka dan membantu meningkatkan kesedaran tentang ancaman yang dihadapi oleh penyu di kalangan keluarga dan rakan-rakan. Penyu adalah ikon warisan semula jadi Terengganu, maka menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kelangsungan hidup mereka. Sekian, terima kasih.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa