KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) — Kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki utama negara hampir menemui titik penyelesaian, selepas kedua-dua pihak mencapai keputusan positif dalam sesi pertemuan hari ini.
Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunos memaklumkan kedua-dua pihak dilihat berpuas hati dengan hasil pertemuan, yang membincangkan mengenai rayuan dihantar pemain nombor tujuh dunia itu semalam.
“Pertemuan itu adalah amat positif dan saya fikir kita temui jalan untuk kedua-dua Zii Jia dan BAM.
“Apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah, membawa perkara ini kepada ahli majlis BAM untuk diputuskan secara rasmi, dan kami akan buat pengumuman minggu hadapan, tetapi apa yang pasti, ia adalah satu keputusan yang baik untuk BAM dan Zii Jia,” katanya pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia, di sini.
Jahaberdeen berkata pihaknya ‘tidak bermusuh’ dengan sesiapa termasuk Zii Jia dalam isu berkenaan, selain percaya juara All England 2021 itu pastinya gembira dengan keputusan berkenaan dan apa yang lebih penting adalah kesimpulan dicapai itu demi kebaikan sukan badminton negara.
Sumber: Bernama