Siakap Keli
Gambar: Mirror UK

Berkorban Derma Buah Pinggang Pada Teman Lelaki, Wanita Dakwa Ditinggalkan Selepas Pembedahan

Seorang wanita dari Amerika Syarikat (AS) yang pernah menderma buah pinggang kepada teman lelakinya mendakwa dia telah ditipu dan ditinggalkan hanya beberapa bulan selepas menjalani pembedahan.

Wanita yang berusia 30 tahun itu memaklumkan bahawa dia sanggup berbuat demikian untuk ‘menyelamatkan’ teman lelakinya akibat penyakit buah pinggang kronik yang dialami sejak di usia remaja.

Difahamkan, lelaki berkenaan terpaksa menjalani rawatan dialisis ketika berusia 17 tahun dan diberitahu bahawa buah pinggangnya hanya berfungsi kurang daripada lima peratus.

Selain itu, wanita tersebut mengambil keputusan itu apabila doktor mengesahkan bahawa buah pinggangnya serasi dengan teman lelakinya dan mereka berdua akan pulih sepenuhnya berikutan prosedur yang berjaya.

Namun, setelah sepuluh bulan selesai menjalani pemindahan buah pinggang, wanita itu mendakwa teman lelakinya tidak setia dan bertindak menuduh dirinya melakukan pemindahan itu hanya ‘untuk kelihatan baik.’

Dalam satu video, wanita itu berkata: “Saya memutuskan untuk menjalani ujian ini sebab merasakan bahawa dia adalah pasangan serasi dan saya tidak mahu melihat dia mati. Saya sangat gementar.”

Dalam klip seterusnya, wanita itu menjelaskan bahawa hubungan pasangan itu berubah selepas teman lelakinya menghadiri sebuah majlis di Vegas bersama rakan-rakan setelah tujuh bulan menjalani pembedahan.

Namun begitu, dia terkejut apabila teman lelakinya mengaku bahawa dia telah menipu wanita tersebut sebelum memutuskan hubungan mereka tiga bulan kemudian.

“Setelah itu, banyak pertengkaran yang telah berlaku dan saya membuat keputusan untuk memaafkan dan memberinya peluang kedua.

”Tiga bulan kemudian, dia bertindak untuk memutuskan hubungan kami dan berkata sekiranya kami ditakdirkan bersama, kami pasti akan berjumpa semula,” katanya.

Sumber: Mirror

Akhmar Ikmal