Siakap Keli
Gambar Hiasan via Twitter Maktabah Al-Bakri

Apakah Hukum Mewakafkan Buku Atau Kitab? Ikuti Penjelasan Ini

Wakaf buku atau kitab merupakan perkara yang biasa dilakukan oleh masyarakat kini. Hal ini dikatakan demikian kerana wakaf yang dilakukan adalah dijadikan sebagai amalan bersedekah ataupun membuat kerja amal bagi membantu orang yang lebih memerlukan.

Kebanyakannya ramai yang mewakafkan buku atau kitab-kitab tersebut di rumah anak-anak yatim, sekolah atau mangsa-mangsa bencana alam yang lebih memerlukan.

Memetik daripada perkongsian di laman Twitter Maktabah Al-Bakri, negara-negara Arab banyak melakukan perkara sedemikian seperti menjual buku dengan harga RM10 walaupun harga sebenar adalah RM 70. Hal ini disebabkan oleh sebahagian kos buku itu diwakafkan.

Jadi, apakah hukum mewakafkan buku atau kitab?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti pencerahan jawapan daripada Maktabah Al-Bakri.

Soalan

Apakah hukum wakaf buku atau kitab? Saya dengar di negera Arab banyak melakukan sedemikian, seperti harga buku itu sebenarnya RM70, tetapi dijual dengan RM10 disebabkan sebahagian kos buku itu diwakafkan. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Wakaf  pada bahasa bererti menahan dari dijual beli dan lain-lain (الْحَبْسُ عَنِ التَّصْرِفِ). Perkataan wakaf, tahbis (تَحْبِيسُ) dan tasbil (تَسْبِيل) adalah membawa makna yang sama. Dengan makna itu, di kebanyakan negara Arab, Kementerian Hal Ehwal Wakaf disebut (وِزَارًةُ الاَوْقَافِ). Hanya negara Maghribi sahaja dipanggil (وِزَارَةُ الاَحْبَاسِ).

Para fuqaha telah bersepakat memberi takrif wakaf dari sudut bahasa dengan “al-Habs” yang bererti menahan kerana ia lebih hampir kepada pengertian syarak. Ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Saidina Umar R.A, sabda Rasulullah SAW:

إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا

Maksudnya: “Sekiranya engkau mahu, tahanlah (wakafkanlah) pokoknya dan bersedekah (di jalan Allah) akan buahnya (hasilnya).”[1]

Ibn Hajar menjelaskan: “Iaitu mewakafkannya dan bersedekah dengan manfaat (yang terhasil) daripadanya.” [2]

Wakaf dari segi syarak pula bermaksud menahan harta itu pada jalan Allah untuk diberi manfaatnya kepada golongan fakir dan musafir dengan mengekalkan ainnya (asal) sebagai pemilik pemberi wakaf.

Pengertian wakaf sepertimana ditakrifkan oleh ulama mazhab Syafi’i adalah:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الاِنْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

Maksudnya: “Penahanan harta yang boleh diambil manfaatnya dan berkekalan ‘ain harta itu. Dengan gugurnya hak milik pewakaf ke atas permannfaatan perkara-perkara yang mubah (tidak haram)”. [3]

Secara ringkas, wakaf boleh difahami sebagai menahan harta benda yang kekal ainnya (zatnya) yang boleh diambil atau digunakan manfaatnya untuk tujuan kebajikan dan diserahkan ke tempat atau pihak yang ditentukan, serta terhalang daripada boleh digunakan secara berleluasa terhadap benda yang diwakafkan dan dimanfaatkan itu dengan harapan ianya dapat mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah Mengetahuinya.[4]

Al-Mawardi dalam al-Nukat wa al-Uyun berkata: Berkenaan dengan perkataan lafaz al-bir (الْبِرَّ), ia terbahagi kepada tiga pendapat, iaitu:

  • Pahala di sisi Allah.
  • Perbuatan baik yang melayakkan pahala.
  • Syurga. Inilah pendapat al-Suddi.

Sedangkan perkataan ‘hingga kamu berinfaq’ (حَتَّىٰ تُنفِقُوا) juga ada tiga pendapat, iaitu:

  • Sedekah yang wajib. Inilah pendapat al-Hasan.
  • Sedekah yang wajib dan sunat. Inilah pendapat Ibn Umar.
  • Semua kebaikan daripada sedekah dan selainnya.

Mengikut riwayat ‘Amr bin Dinar, tatkala turunnya ayat ini, Zaid bin Harithah datang dengan membawa kudanya yang diberi nama Sabal kepada Rasulullah, sambil berkata: “Sedekahlah kuda ini wahai Rasulullah.” Kemudian Baginda SAW memberikannya kepada Usamah, lantas Zaid berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku mahu bersedekah dengannya.” Kemudian Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya telah diterima sedekah kamu.” [5]

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah daripadanya amalnya kecuali dari tiga perkara; dari sedekah jariah atau ilmu yang diambil manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya.”[6]

Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim berkata: Maksud sedekah jariah dalam hadith di atas ialah amalan wakaf. Hadith ini juga menjadi dalil sahnya amalan berwakaf serta ganjarannya yang besar. [7]

Berdasarkan persoalan di atas, hukum wakaf buku sangat dituntut dalam Islam. Hal ini kerana selagi mana buku itu dimanfaatkan oleh pembacanya, pasti pahala tersebut akan berterusan mengalir kepada pewakafnya.

Amalan wakaf buku  begini banyak berlaku di negara-negara Arab. Sehinggakan ditempat kami belajar di Madinah dahulu, terdapat dermawan yang datang ke sebuah kedai buku dengan memberikan sejumlah wang yang banyak dengan tujuan wakaf kepada pemilik kedai buku tersebut supaya diturunkan semua harga buku di dalam kedai tersebut. Hal sebegini menggembirakan kami sebagai penuntut ilmu untuk memiliki buku yang sebenarnya mahal, tetapi boleh didapati dengan harga yang murah. Amalan sebegini masih berlaku sehingga sekarang.

Bahkan di sana, terdapat banyak buku-buku mahal yang diberikan secara percuma kepada penuntut ilmu supaya dimanfaatkan isi kandungannya. Perkara sebegini sangat dituntut dalam amalan wakaf. Malah, sekiranya para penuntut ilmu ini menjadi seorang ulama’ yang faqih dengan rujukan buku yang terdapat saham wakaf di dalamnya sehingga mereka mengajarkan ilmu kepada orang ramai, pastilah pahala wakaf tersebut akan mengalir kepada pewakafnya. Maka benarlah firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai. Pada tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”[8]

Ayat ini juga jelas menunjukkan akan kelebihan seseorang itu apabila dia menginfaqkan sebahagian hartanya pada jalan Allah SWT. Sebahagian para ahli tafsir mengatakan ayat ini diturunkan pada menyatakan hebatnya sedekah yang dilakukan oleh dua orang sahabat Nabi SAW yang agung iaitu Abd al-Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan. Akan tetapi, ayat ini juga termasuk sesiapa sahaja yang mengikuti jejak langkah dua orang sahabat Nabi SAW ini pada menggunakan hartanya di jalan Allah SWT. [9]

Semoga Allah SWT melimpahruahkan rezeki kita untuk kita mewakafkan harta kita di jalan-Nya dan memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Sumber : Maktabah Al-Bakri

Fathin Nadzira

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.