Siakap Keli
Gambar: The Sun

Ibu Obses Mahu Anak Jadi Selebriti, Habiskan 14 Jam Seminggu ‘Berlatih’ Seawal Usia 6 Tahun

Seorang ibu di UK mengakui bahawa dia begitu ‘terdesak’ mahukan anak perempuannya yang baru berusia enam tahun untuk menjadi terkenal seperti selebriti, lapor The Sun.

Ibu tersebut, Nicole Gold, 35, berkata bahawa dia telah merancang perjalanan kerjaya anaknya, Penny sejak kanak-kanak itu berada di dalam rahimnya lagi.

Impiannya sebagai ibu adalah untuk melihat anaknya menyertai pertandingan seperti The X Factor dan menjadi bintang pop dan pelakon popular.

Sehubungan dengan itu, Nicole akan sentiasa memastikan Penny lakukan segala yang termampu untuk dia sampai ke tahap tersebut.

Difahamkan, Penny juga akan pergi ke sekolah sarkas selama dua jam untuk mempelajari cara menggunakan sutera dan galah. Dia juga menghabiskan masa selama enam jam untuk belajar menyanyi dan berlakon.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak berusia enam tahun itu turut perlu menghadiri kelas gimnastik selama dua jam, satu jam kelas fotografi, dan tiga jam kelas teater muzikal.

Walaupun berstatus ibu tunggal, Nicole turut mempunyai sebuah salun kecantikan dan Botox untuk menyara anak perempuannya itu. Dia sentiasa memastikan jadual anaknya itu diikut dengan ketat.

Jadual Penny selalunya akan bermula pada jam 7.30 pagi dan dia dikehendaki untuk masuk tidur pada jam 7.30 petang. Nicole hanya membenarkannya untuk bermain jika dia telah menyelesaikan segala latihan selebriti yang perlu anaknya hadiri.

“Saya memang sangat mendesak dan Penny juga perlu menyelasaikan aktivitinya sebelum dia dibenarkan untuk bermain dengan iPad, atau alat mainannya.

Impian saya untuknya apabila dia dewasa pada dasarnya adalah segala-galanya yang saya mahu lakukan ketika saya seusianya.

Sebelum dia boleh berjalan, dia (perlu) memakai kasut tumit tinggi dan gincu saya, berposing dengan mikrofon. Persembahan (seakan seorang penyanyi) ada dalam darahnya,” kata Nicole.

Namun begitu, walaupun pelbagai perkara sudah diusahakan Nicole, keputusan tetap berada di tangan Penny.

“Jika dia mahu menjadi doktor, sudah tentu saya akan sedih, tetapi saya masih berharap apa yang sudah saya berikan cukup untuk membuatkan dia menjadi seorang selebriti,” tambah Nicole.

Sumber: The Sun

Zahirah