Bila sebut saja pasal semut, apa yang mula-mula terlintas di fikiran kita mesti saiznya yang kecil dan cara hidup berkumpulan yang sangat sinonim dengan serangga berpinggang ramping ini.
Serangga kecil yang terkenal rajin ini sangat kerap ditemui dan sering dilihat di sekeliling kita. Baik di kawasan semulajadi, bangunan pejabat mahupun ketika berada di rumah, mesti ada saja ‘kelibat’ semut di mana-mana.
Ukuran serangga ini mungkin jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan tubuh seorang manusia. Tapi kalau korang nak tahu, semut-semut di seluruh dunia kalau dikumpulkan, jisim mereka dikatakan setanding atau lebih berat daripada jumlah manusia.
Perkara ini dinyatakan oleh seorang profesor dari Universiti Harvard, Profesor Edward O Wilson dan ahli biologi Jerman, Bert Hoelldobler dalam buku mereka yang dikeluarkan pada tahun 1994.
Menurut laporan BBC, kedua pakar dalam bidang biologi ini membuat kesimpulan berdasarkan pemerhatian seorang ahli pengkaji serangga, C B Williams. Menurut Williams, jumlah serangga yang hidup di muka bumi ketika itu telah mencecah satu juta trilion.
“Jika diambil dari nilai keseluruhan, satu peratus daripada jumlah serangga ini adalah semut. Populasi mereka sendiri mencecah 10 ribu trilion,” tulis Wilson dan Hoelldobler.
“Seekor semut pekerja memiliki purata berat satu hingga lima miligram, bergantung kepada spesies. Apabila digabungkan, berat kesemua semut ini lebih kurang sama dengan berat semua manusia di dunia,” tambah mereka memetik laporan BBC.
Semut mungkin lebih berat dari manusia dua ribu tahun lalu
Pun begitu, jumlah sebenar populasi semut di seluruh dunia setakat ini belum dapat dipastikan. Namun menurut dokumentari di BBC Four, diperkirakan jumlah semut di muka bumi adalah 100 trilion dan bukan 10 ribu trilion sepertimana yang dikemukakan oleh Wilson dan Hoelldobler.
Jelas seorang profesor dari Universiti Sussex, Francis Ratnieks, pengiraan Wilson dan Hoelldobler mungkin tidak tepat untuk dipraktikkan pada zaman sekarang. Tetapi jika dibandingkan dengan dua ribu tahun yang lalu, jumlah semut mungkin pernah lebih berat dari populasi manusia.
“Saya fikir jika dibandingkan dengan dua ribu tahun lalu, jumlah semut mungkin lebih berat daripada manusia semasa zaman Amerika Syarikat masih belum merdeka atau pada era sebelumnya.
“Ketika itu, manusia mungkin lebih menjaga berat badan berbanding semut.
“Tapi kita perlu ingat, berat badan manusia semakin hari semakin meningkat.
“Kita bukan sahaja bertambah dari segi populasi, malah turut bertambah dari segi berat badan.
“Jadi, saya rasa semut telah ketinggalan,” kata Ratnieks memetik laporan BBC.
Sumber: BBC