Setiap tahun dunia akan menyaksikan pelbagai kes penculikan sama ada membabitkan kanak-kanak atau orang dewasa. Lebih parah, sesetengah individu yang dilaporkan diculik itu masih lagi belum pulang ke pangkuan keluarga sehingga ke hari ini.
Disebabkan tiada petunjuk yang jelas, kes-kes tersebut juga terus ‘terkubur’ dan menjadi misteri selama bertahun-tahun lamanya.
Seperti kisah seorang lelaki di Amerika Syarikat ini yang telah dilaporkan diculik sejak 2008 dan sehingga kini masih belum ditemui.
Kes penculikan Felix Batista menjadi liputan di seluruh dunia kerana lelaki itu merupakan pakar dalam isu anti-penculikan dan bekerja sebagai perunding penculikan. Ironi bukan?
Mengimbas kembali kisah penculikan Felix, dia kali terakhir dilihat pada 10 Disember 2008 di luar sebuah restoran di Saltillo, Mexico. Ketika itu, dia berada di negara berkenaan atas urusan kerjanya sebagai Pakar Anti-Penculikan.
Dia dilaporkan tiba di Saltillo pada 6 Disember untuk mengambil bahagian dalam seminar keselamatan mengenai penculikan, lapor CNN.
Menurut Federal Bureau of Investigation (FBI), sebelum kejadian, Felix telah mendapat tahu bahawa rakannya dan bekas ketua keselamatan sebuah firma perindustrian tempatan telah diculik.
Ketika berada di restoran, dia menerima panggilan daripada mangsa yang memberitahu bahawa mereka telah dibebaskan dan satu kereta akan dihantar kepadanya. Mendengar mengenai ‘berita baik’ itu, Felix telah meninggalkan telefon bimbitnya, kad kredit, komputer riba dan semua dokumen di dalam restoran dan terus menuju ke luar restoran untuk menunggu kereta sampai.
In 2008, Felix Batista, an anti-kidnapping expert, was kidnapped while giving an anti-kidnapping seminar in Mexico—he's still missing.
— UberFacts (@UberFacts) November 20, 2015
Bagaimanapun, ia sebenarnya hanyalah muslihat kerana sejak dia masuk ke dalam kereta tersebut, dia tidak dapat dikesan sehingga kini.
Sementara itu, saksi di tempat kejadian mengatakan bahawa Felix dipaksa masuk ke dalam sebuah jeep oleh empat orang lelaki.
Motif penculikan itu tidak diketahui kerana tiada sebarang tuntutan wang tebusan dilakukan oleh suspek dan mereka juga tidak pernah menghubungi keluarga Felix.
Misteri kehilangan Felix telah membuatkan keluarganya hidup dalam kesedihan selama bertahun-tahun.
Pada 2016, isteri Felix berkata dia masih lagi berharap agar suaminya ditemui.
“Saya mendapat panggilan daripada Felix dan dia memberitahu bahawa dia benar-benar sibuk serta berkata ada penculikan telah berlaku, ‘saya akan menghubungi awak semula’. Itulah kali terakhir saya bercakap dengannya,” kata isteri Felix, Lourdes.