Siakap Keli
Gambar: BBC

‘Dilihat’ Berputar-putar, Saintis Australia Kesan Objek ‘Menyeramkan’ Di Ruang Galaksi Bima Sakti

Para saintis dari Australia dikatakan telah mengesan objek asing ‘menyeramkan’ yang tidak pernah ditemui sebelum ini, berputar di ruang galaksi Bima Sakti, lapor BBC.

Menurut BBC, objek tersebut pertama kali dikesan oleh seorang pelajar sarjana dari Universiti Curtin, Australia, Tyrone O’Doherty.

O’Doherty dilaporkan membuat pemerhatian terhadap objek asing itu yang membebaskan tenaga radio setiap seminit, selama 18 minit. Pemerhatian O’Doherty ini dibuat dengan menggunakan teleskop serta teknik baharu yang diasaskan olehnya sendiri.

O’Doherty merupakan sebahagian dari pasukan penyelidik yang diketuai oleh ahli astrofizik, Dr Natasha Hurley-Walker dari Pusat Penyelidikan Astronomi Radio Antarabangsa (ICRAR), Universiti Curtin.

“Objek tersebut muncul kemudian hilang sepanjang beberapa jam pemerhatian.

“Ia sangat di luar jangkaan.

“Ia agak menyeramkan untuk ahli-ahli astronomi memandangkan tiada perkara seumpamanya yang dikenalpasti berlaku di angkasa,” jelas Hurley-Walker  memetik laporan BBC.

Setakat ini, pasukan penyelidik dikatakan masih dalam proses kajian untuk mendapat penjelasan pasti tentang fenomena tersebut.

Pun begitu, teori sedia ada menyifatkan objek tersebut sebagai bintang neuron atau white dwarf, iaitu istilah bagi sisa bintang yang jatuh. Namun penemuan objek asing oleh penyelidik Australia ini masih menjadi tanda tanya.

Sumber: BBC

Eyla Azri