Dalam dunia ini, berbagai-bagai pekerjaan yang dilakukan oleh masyarakat hanya untuk menampung keperluan hidup. Tidak kisahlah kerja sebagai pencuci atau pelayan restoran, asalkan gaji masuk, boleh jalan.
Tetapi yang paling kagum ada juga yang memilih untuk melakukan pekerjaan unik. Unik di sini adalah ia agak tidak disukai oleh orang lain. Tapi padanya, ia adalah peluang untuk dapatkan duit.
Begitulah seperti yang dilakukan oleh seorang lelaki di United Kingdom (UK) yang bekerja sebagai ‘pakar penunggu’ ini apabila dia hanya perlu beratur bagi pihak orang lain yang sibuk, lapor Oddity Central.
Gambar: Melanie Pongratz/Unsplash via Oddity Central
Memetik laporan Oddity Central, lelaki berkenaan, Freddie Beckitt, 31, dikatakan boleh memperoleh sebanyak RM902 sehari hanya dengan beratur dalam barisan yang panjang.
Difahamkan, dia dipercayai menunggu dalam barisan bagi mana-mana pelanggan kaya dan dibayar sebanyak £20 (RM113) sejam, selain turut bersedia jika ada orang yang sanggup membayarnya.
Walaupun kerjaya hakikinya adalah sebagai penulis fiksyen sejarah di Fulham, namun sudah tiga tahun dia melakukan pekerjaan ini, malah membuatkan pendapatan bulanannya semakin bertambah.
Selain itu, dia juga berharap agar dapat meluangkan lebih banyak masa beratur panjang dalam barisan supaya ia menjadi ‘lubuk’ rezekinya sepenuh masa.
“Sejujurnya, ia terhasil dengan hanya bersiar-siar sahaja dan Taskrabbit membolehkan anda menyenaraikan pekerjaan ganjil. Pelanggan hanya memilih anda daripada peranan yang disenaraikan.
“Banyak senarai pekerjaan rawak yang berkemahiran rendah. Apabila saya melihatnya, saya terfikir ia adalah pekerjaan paling mudah di dunia,” katanya.
Difahamkan, kebanyakan pelanggannya adalah daripada kalangan orang yang kaya dan berada, tetapi tidak mempunyai masa untuk beratur panjang serta tidak boleh diganggu.
Dikatakan pernah satu ketika dahulu, dia pernah beratur dalam satu barisan untuk membeli tiket di acara pertunjukan popular walaupun pada ketika itu muism panas.
“Saya pernah beratur di pameran Christian Dior V&A selama lapan jam dan ada yang meminta saya untuk mengambil tiket mereka.
“Saya tidak fikir yang saya boleh menetapkan harga lebih daripada £20 (RM 113) sejam kerana tidak memerlukan sebarang kemahiran, tetapi saya mempunyai banyak masa dan boleh menyesuaikannya dengan jadual penulisan saya,” katanya.