Siakap Keli

Lima Penarik Kereta Ditahan Terlibat Pergaduhan

GEORGE TOWN, 27 Jan – Polis menahan lima penarik kereta yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan membabitkan 20 individu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata kesemua mereka yang berusia 26 hingga 50 tahun itu, ditahan di sekitar George Town selepas kejadian itu yang dipercayai berlaku 2 petang semalam.

Video pergaduhan tersebut yang dirakam orang awam turut tular di media sosial.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, pergaduhan itu tercetus selepas berlakunya kemalangan melibatkan sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari arah Bayan Lepas menghala ke pusat bandar George Town.

“Hasil siasatan, pergaduhan tersebut dipercayai berkaitan urusan menarik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut yang berada di lokasi kejadian telah cuba meleraikan pergaduhan tersebut, namun gagal.

Soffian berkata anggota polis Cawangan Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Timur Laut dipanggil membantu, bagaimanapun, setibanya mereka di lokasi kejadian, kesemua individu berkenaan telah melarikan diri.

Beliau berkata polis seterusnya melancarkan operasi serta berjaya menahan lima suspek tersebut dan turut merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu, iaitu topi keledar dan mangga motosikal.

“Polis masih mengesan suspek lain (penarik kereta) yang terlibat dalam pergaduhan itu, dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang