Siakap Keli
mais k-guam
Gambar: MAIS

MAIS Lancar K-Guam, Tawar Khidmat Guaman Atas Talian Secara Percuma

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menawarkan khidmat guaman atas talian secara percuma kepada orang ramai dengan melancarkan K-GUAM bagi memudahkan masyarakat mendapatkan khidmat nasihat perundangan syariah dengan lebih mudah dan pantas melalui platform atas talian.

Pelancaran K-GUAM disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Majlis Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2022 yang disiarkan secara langsung di Facebook Majlis Agama Islam Selangor di sini hari ini.

K-GUAM merupakan perkhidmatan Bantuan Konsultasi Guaman secara percuma dengan memberikan khidmat Perundangan Sivil dan Syariah yang dilaksanakan melalui platform atas talian.

Menerusi perkhidmatan K-GUAM, Perundangan Sivil merangkumi jenis kes melibatkan Perkahwinan, Penceraian dan Keluarga; Hartanah dan Conveyancing: Buruh dan Pekerjaan: Wasiat dan Probate; Pemulihan Hutang dan Jenayah. Manakala bagi Perundangan Syariah seperti Perkahwinan, Penceraian dan Keluarga; Hibah, Wasiat dan Pusaka; Wakaf dan Jenayah.

Menariknya K-GUAM ini, merupakan platform perkhidmatan atas talian perundangan yang pertama MAIS dengan kerjasama Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Perkhidmatan K-GUAM ini mensasarkan 240 permohonan bagi tahun 2022. K-GUAM telah mula beroperasi pada 29 Disember 2021 dan sehingga kini, sebanyak 18 permohonan yang telah diterima.

Gambar: MAIS

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan K-GUAM, boleh dibuat menerusi link https://www.mais.gov.my/k-guam/ atau maklumat lanjut berhubung perkhidmatan K-GUAM, boleh didapati di laman web MAIS di www.mais.gov.my.

Sementara itu, Pengerusi MAIS dalam ucapan Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2022, beliau menekankan tiga strategi dan hala tuju MAIS, Jabatan Hal Ehwal Islam, Agensi dan Anak Syarikat MAIS bagi tahun 2022 antaranya ialah Pemulihan dan Pengukuhan; Prihatin Ummah dan Pemerkasaan Perkhidmatan.

Tambahnya lagi, beliau berharap agar MAIS bersama Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, Agensi dan Anak Syarikat MAIS dapat meneruskan momentum kecemerlangan yang natijahnya akan menghasilkan satu kejayaan yang bermakna untuk umat Islam di negeri Selangor.

Hadir sama dalam majlis ialah YAD Dato’ Dr. Haji Anhar Haji Opir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor; YBhg. Dato’ Haji Mohd Shahzihan Bin Ahmad, Sahibus Saadah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor; YDH DCP Dato’ Arjunaidi Bin Mohamed, Ketua Polis Selangor; Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar, Pengerusi PPMM, Tuan Hairunnajmi Bin Hj Najmuddin.

Turut serta Pengerusi PGSM Selangor; YB Dr. Ahmad Fadzli Bin Ahmad Tajuddin,Pegawai Kewangan Negeri; YB Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Anggota MAIS; YDM Tengku Seri Paduka Shah Bandar Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Alhaj Bin Tengku Abdul Hamid Shah Alhaj, Anggota MAIS; YDH Dato’ Kurnia Bakti Diraja Dato’ Mohd Effendi Bin Abdullah, Anggota MAIS; YBhg. Tan Sri Dato’ Hashim Bin Meon, Anggota MAIS; YBhg. Tan Sri Mazlan Bin Mansor, Anggota MAIS; dan Dr. Haji Ahmad Shahir bin Makhtar, Setiausaha MAIS.

Turut hadir Pengurusan Tertinggi MAIS, Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, Agensi dan Anak Syarikat MAIS.

Amira

Love yourself.