Restoran khidmat segera kegemaran ramai dianugerahkan Majikan Terbaik buat kali ketujuh
KUALA LUMPUR, 27 Januari 2022 – McDonald’s Malaysia telah diiktiraf dengan dua anugerah sumber manusia oleh Kincentric iaitu Anugerah Majikan Terbaik Antara Yang Terbaik 2021 dan Anugerah Majikan Terbaik 2021 baru-baru ini.
Ini merupakan kali pertama restoran khidmat segera tersebut diiktiraf sebagai Majikan Terbaik Antara Yang Terbaik Kincentric. Pencapaian ini telah melonjakkan McDonald’s Malaysia sebagai organisasi contoh dari segi pengurusan sumber manusia dan peningkatan perniagaan berterusan. Tambahan lagi, ini merupakan kali ketujuh McDonald’s menerima Anugerah Majikan Terbaik.
Anugerah-anugerah ini adalah mandat kepada komitmen dan usaha berterusan McDonald’s dalam mencungkil bakat-bakat di samping menyediakan latihan-latihan yang bersesuaian selain program-program pembangunan bakat. Pihak syarikat sentiasa berusaha bagi meningkatkan potensi setiap pekerjanya untuk berjaya dalam laluan kerjaya mereka dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
“Kami tujukan anugerah-anugerah ini khas kepada pekerja-pekerja kami yang telah menjadikan McDonald’s sebagai tempat kerja yang disenangi dan kebanggaan mereka. Saya bangga dengan dedikasi mereka yang berterusan demi pelanggan McDonald’s dan komuniti, walaupun didepani cabaran oleh kerana pandemik Covid-19.
“Selaras dengan misi syarikat dalam memberi yang terbaik untuk komuniti, adalah menjadi tanggungjawab kami bagi memupuk nilai dan persekitaran yang sesuai bukan sahaja di dalam organisasi tetapi juga di luar,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.
Di McDonald’s, para pekerja sentiasa dihubungkan melalui Employee Value Proposition (EVP) syarikat, yang memberi fokus kepada menjadikan para pekerja sebagai ahli keluarga dan syarikat membantu mereka menuju ke arah kerjaya yang cemerlang. Ini disokong dengan insiatif strategi program-program pembangunan dan perancangan kerjaya bagi setiap individu agar ia memberi kepuasan jangka panjang kepada mereka.
Dari segi latihan dan program pembangunan bakat yang disediakan oleh pihak syarikat, Program Perantis Vokasional McDonald’s di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Kementerian Sumber Manusia, membantu pembangunan kerjaya yang lebih bermakna bagi golongan muda melangkaui tugasan di kaunter.
Program latihan berasaskan industri selama 18 bulan ini meliputi latihan praktikal sebanyak 70% dan 30% pembelajaran teori. Peserta program akan ditaja sepenuhnya, oleh McDonald’s dan sehingga kini, McDonald’s Malaysia telah melatih 3,500 golongan belia. Majoriti golongan belia yang berjaya menjalani latihan ini telah diambil bekerja sebagai kru pelatih McDonald’s dan ada di antara mereka telah dilantik menjadi Ketua Kru dan Pengurus Restoran.
“Program SLDN kami bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan memberi persediaan kepada golongan belia bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara. Kami amat berbangga kerana telah menyediakan asas untuk mereka menimba kemahiran yang bersesuaian dan latihan bagi peningkatan potensi mereka. Fokus kami adalah warga kerja kami dan mereka adalah tulang belakang syarikat. Tidak mungkin McDonald’s menempa kejayaan tanpa mereka,” tambah Azmir.
Bagi tahun 2021, McDonald’s Malaysia telah melabur lebih dari RM20 juta bagi inisiatif pembangunan modal insan. Buat masa ini, syarikat mempunyai lebih dari 15,000 pekerja di 318 buah restoran seluruh negara dan merancang untuk mengambil lebih ramai lagi rakyat Malaysia bekerja selaras dengan penambahan cawangan restorannya.