Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Tiga Lelaki Maut Kemalangan Di Rompin

KUANTAN, 27 Jan (Bernama) — Tiga lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah kereta Proton Saga dinaiki ketiga-tiga mangsa dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah kereta BMW X1 di laluan bertentangan, di Kilometer 98.5 Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, pada 4.26 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata setakat ini, hanya identiti seorang mangsa dikenal pasti iaitu seorang lelaki berusia 18 tahun yang merupakan penduduk Orang Asli dari Kampung Kachong di Muadzam Shah, Rompin.

Dua lagi mangsa yang juga dipercayai keturunan Orang Asli merupakan penumpang kereta Proton Saga yang dipandu mangsa berusia 18 tahun.

“Kereta (Proton Saga) dinaiki mangsa dipercayai telah merempuh kereta BMW X1 yang dinaiki dua lelaki yang semasa itu dalam perjalanan dari Negeri Sembilan ke Terengganu.

“Kemalangan menyebabkan bahagian hadapan kedua-dua kereta remuk teruk dengan tiga mangsa yang maut di lokasi kejadian mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata pemandu BMW yang berusia 31 tahun itu cedera di lutut kiri manakala penumpangnya berumur 37 tahun cedera ringan di bahagian dagu. Kedua-duanya beralamat di Seremban, Negeri Sembilan.

Mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Bernama

Eyla Azri