Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan - Bernama

CIMB Raih 11 Pengiktirafan Di Anugerah Alpha Southeast Asia 2021

KUALA LUMPUR — CIMB Investment Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd dan CIMB Thai Bank PCL meraih 11 pengiktirafan dalam Anugerah Tawaran & Penyelesaian Terbaik Tahunan Alpha Southeast Asia 2021.

Ia merupakan jumlah pengiktirafan terbanyak yang diraih berbanding kalangan kumpulan perbankan di ASEAN.

Dalam kenyataan pada Rabu, CIMB menjelaskan ia bukti terhadap keteguhan francais perbankan pelaburan CIMB di seluruh ASEAN, dengan kumpulan itu menerima anugerah bagi tawaran terbaik merentasi ruang ekuiti dan hutang di samping kepimpinan pasaran dalam pasaran sukuk.

Selama lebih sedekad, CIMB menjadi pengatur sukuk global terbesar setakat ini dalam kalangan bank-bank ASEAN dan di Malaysia sebagaimana menurut Bloomberg dan Dealogic.

CIMB juga diiktiraf atas komitmennya terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) apabila merangkul anugerah itu bagi Sukuk Kemampanan dan Pelaburan Bertanggungjawab (SRI) Hijau ASEAN Terbaik dan Sukuk SRI Terbaik untuk terbitan pertama Nota Jangka Sederhana (MTN) Kemampanan Islam bernilai RM500 juta oleh SME Bank, di mana CIMB berperanan sebagai pengurus utama.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata anugerah dalam ruang ESG mengesahkan aspirasi CIMB untuk menjadi peneraju kemampanan ASEAN, sejajar dengan komitmennya untuk menggerakkan RM30 bilion ke arah kewangan mampan menjelang 2024.

“Kami juga menghargai usaha #teamCIMB yang terus bekerja tanpa jemu untuk meningkatkan reputasi CIMB sebagai francais perbankan pelaburan ASEAN dan firma kewangan Islam terkemuka,” katanya.

Sementara itu, Akaun Simpanan EcoSave-i CIMB Islamic Bank yang inovatif, dengan ciri terbina dalam untuk menyumbang kepada kempen alam sekitar serta perkongsiannya dengan badan yang berfokuskan alam sekitar di Malaysia, membantu meletakkan asas bagi pengiktirafannya sebagai Firma Kewangan Islam Impak Sosial Terbaik.

Alpha Southeast Asia, ditubuhkan pada Januari 2007, adalah majalah pelaburan institusi pertama dan satu-satunya yang menumpukan Asia Tenggara (Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam).

-BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.