Siakap Keli
Kredit: Hello Doktor

Selamat Ke Makan Durian Sewaktu Hamil? Ramai Tak Tahu, Rupanya Ini 5 Khasiatnya Buat Bakal Ibu

Musim yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat Malaysia tak lain dan tak bukan ialah musim durian. Walaupun ada sahaja yang tidak makan dan tidak gemar akan baunya tetapi kebanyakannya menyukai raja buah ini.

Namun, timbul persoalan adakah selamat bagi mereka yang berbadan dua untuk makan durian ketika hamil. Adakah ia memberikan manfaat tertentu atau sebaliknya?

Ikuti jawapan oleh portal kesihatan, Hello Doktor berkenaan lima khasiat buah durian ini untuk ibu mengandung.

Kandungan nutrisi buah durian

Durian dikategorikan sebagai jenis buah tropika yang berasal dari Asia Tenggara.

Buah durian dikenali ramai disebabkan baunya yang kuat dengan rasa yang berkrim dan juga sangat manis.

Walaupun agak tinggi dengan kandungan lemak dan juga kalori, raja buah ini turut memiliki beberapa jenis vitamin dan mineral penting.

Satu cawan buah durian (243 gram) sama ada jenis segar atau sejuk beku, mengandungi sekitar 357 kalori.

Ia turut mengandungi sebanyak 66 gram karbohidrat, 13 gram lemak dan 3.6 gram protein.

Selain itu, buah durian turut memiliki beberapa mineral dan vitamin seperti potasium, fosforus, magnesium, folat dan juga vitamin C.

Adakah selamat untuk makan durian ketika hamil?

Kredit: Hello Doktor

Walaupun tinggi dengan khasiat, terdapat banyak spekulasi berkenaan sama ada selamat ke untuk wanita hamil makan durian.

Di Asia, salah satu pantang larang yang terkenal ialah berkenaan makan durian ketika hamil.

Dilarang sama sekali untuk wanita hamil makan durian kerana dipercayai boleh membuatkan badan menjadi panas dan memberi kesan kepada janin di dalam kandungan.

Sebenarnya, tidak terdapat bukti saintifik yang menyokong dakwaan tersebut.

Wanita yang sedang hamil boleh memakan durian memandangkan buah ini mempunyai kandungan vitamin, mineral selain ciri-ciri antioksida.

Malah, buah durian juga mempunyai sifat antibakteria, antikulat yang menjadikan ia selamat untuk dimakan walaupun anda sedang hamil.

Namun begitu, ia tidak boleh diambil sesuka hati tanpa kawalan. Pengambilan buah durian secara berlebihan juga boleh memberikan kesan negatif kepada ibu hamil.

Ini khasiat makan durian ketika hamil

Kredit: Hello Doktor
Terdapat beberapa khasiat atau manfaat wanita hamil makan durian yang ramai tidak tahu. Antara khasiat tersebut ialah:

1. Melegakan penyakit anemia

Anemia merupakan sejenis keadaan penyakit yang mengurangkan kadar hemoglobin dalam darah.

Apabila anemia berlaku, ia boleh menyebabkan keletihan, insomnia dan sakit kepala.

Dalam kalangan wanita yang sedang hamil, anemia berisiko menyebabkan kecacatan dan kematian kepada janin di dalam kandungan.

Buah durian memiliki kandungan asid folik yang sangat tinggi.

Untuk makluman anda, asid folik diperlukan bagi menghasilkan hemoglobin dalam darah.

Pengambilan buah durian sekali gus dapat mengelakkan anemia dalam kalangan ibu yang sedang hamil.

2. Memelihara otak dan tulang belakang bayi

Selain itu, durian juga tinggi dengan kandungan folat.

Folat amat penting bagi wanita yang sedang hamil kerana ia menggalakkan pertumbuhan tisu badan selain memelihara kesihatan otak dan tulang belakang bayi dalam kandungan.

3. Kaya dengan serat pemakanan

Ramai ibu hamil sering mengalami masalah sembelit akibat perubahan hormon dalam badan.

Durian boleh bertindak sebagai julap semula jadi dan membantu dalam penyingkiran bahan kimia berbahaya daripada usus.

Ia juga memastikan membran mukus dilindungi memandangkan kandungan serat boleh mengurangkan tempoh pendedahan kepada toksin.

4. Durian memiliki antioksida

Bukan hanya vitamin dan mineral, tetapi buah durian juga memiliki unsur zink, triptofan dan organo-sulfur yang mempunyai kesan antioksida.

Antioksida akan membantu melindungi ibu hamil dan juga bayi dalam kandungan daripada radikal berbahaya dan juga bahan-bahan pencemar.

5. Kaya dengan mineral

Tiada masalah jika wanita hamil makan durian kerana buah durian juga kaya dengan mineral penting.

Antara mineral yang terdapat dalam buah durian ialah seperti zat besi, mangan, magnesium dan juga tembaga.

Mineral-mineral ini sangat bermanfaat kepada wanita hamil kerana ia boleh membantu meningkatkan aliran darah kepada janin.

Makan durian ketika hamil perlu dikawal

Kredit: Hello Doktor
Walaupun durian tinggi dengan nutrisi bermanfaat, perlu diketahui bahawa ia juga memiliki nilai indeks glisemik (GI) yang tinggi.

Ini bermakna, durian mempunyai jumlah karbohidrat dan gula yang agak banyak.

Oleh itu, jika wanita hamil makan durian dengan banyak, ia boleh meningkatkan paras gula darah secara mendadak selain menambah berat janin dalam kandungan.

Jika janin menjadi terlalu berat atau besar, ia boleh menghalang anda daripada melahirkan bayi secara semula jadi.

Siapa yang perlu elak makan durian semasa hamil?

Terdapat beberapa golongan atau kelompok wanita yang perlu mengelakkan diri daripada makan durian ketika hamil. Antaranya ialah:

  • Wanita hamil yang obes
  • Wanita hamil yang mempunyai diabetes gestasi
  • Wanita hamil yang mempunyai sejarah keluarga dengan diabetes
  • Wanita hamil yang berada dalam trimester ketiga

Kesimpulan

Secara amnya, wanita hamil dibolehkan dan selamat untuk makan durian jika mereka mahu.

Namun, jumlahnya perlulah dikawal dan sebolehnya makanlah dengan jumlah yang sedikit.

Jika tidak, anda akan mengalami masalah seperti yang telah dinyatakan di atas ini.

Sumber: Hello Doktor

Zahirah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.