Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun berdepan detik cemas apabila dilempar ibunya sendiri ke dalam kandang beruang di sebuah zoo di Uzbekistan.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ibunya dilihat mengangkat mangsa hingga ke atas pagar sebelum bertindak mencampaknya ke dalam kandang beruang itu.
Beruang tersebut yang dipanggil Zuzu, cuba mendekati dan menghidu gadis kecil itu selepas menerima ‘penghuni’ baru di dalam parit di dalam sangkar di Tashkent, Uzbekistan.
Bagaimanapun, penjaga zoo berjaya menarik binatang itu ke bahagian dalam sangkar agar kakitangan dapat menyelamatkan kanak-kanak tersebut.
Enam kakitangan zoo memasuki bahagian luar sangkar, dengan seorang mengangkat gadis itu dalam pelukannya dan membawanya ke hospital.
Seorang jurucakap zoo berkata, seorang wanita muda melemparkan seorang gadis kecil ke dalam kandang beruang coklat, di hadapan semua pelawat.
“Ia sama sekali tidak jelas apa motifnya. Kedua-dua pelawat dan kakitangan zoo cuba menghalangnya tetapi gagal.
“Kami takut untuk memikirkan bagaimana pengkakhirannya jika beruang itu bertindak balas terhadap anak kecil itu sebagai mangsanya”, tambahnya.
Zuzu, seekor beruang coklat Kaukasia jantan, sedang memerhatikan wanita yang melemparkan anak kecil itu ke atas pagar besi dan kemudian jatuh ke dalam parit di bawah pagar.
Lapor Tashkent, ibu kanak-kanak tersebut ditahan dan menghadapi kes jenayah kerana cubaan membunuh dan berdepan hukuman penjara 15 tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, kanak-kanak perempuan itu sedang dirawat di hospital selepas mengalami kecederaan di kepala dan luka akibat terjatuh.
Seorang jurucakap berkata, kanak-kanak itu disahkan mengalami gegaran otak disebabkan oleh terjatuh dari ketinggian lima meter dan luka terbuka di kepalanya.
“Pada masa ini keadaannya normal, tetapi dia kekal di bawah pemerhatian secara berterusan.”
Sebelum ini, terdapat kes kanak-kanak terjatuh ke dalam kandang zoo. Pada 2016, seekor gorila berusia 17 tahun yang menangkap dan menyeret seorang budak lelaki berusia empat tahun yang jatuh ke dalam kandangnya di zoo Cincinnati di A.S. telah ditembak oleh penjaga.
Tahun lalu, seorang bapa didakwa membawa anak kecilnya di dalam kandang seekor gajah di zoo San Diego di A.S.
Sumber: Daily Mail