Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Hukum Orang Islam Gantung Tanglung Tahun Baru Cina, Ini Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan

Tahun Baru Cina merupakan perayaan penting bagi masyarakat Cina di seluruh dunia. Perayaan yang disambut setiap tahun ini merupakan simbolik kedatangan tahun baru mengikut kalendar lunar.

Setiap kali perayaan ini tiba, kita dapat melihat pelbagai aksesori yang rata-ratanya berwarna merah digantung di rumah masyarakat Cina dan sebahagian tempat awam.

Salah satu aksesori yang sangat umum semasa perayaan Tahun Baru Cina adalah tanglung. Tanglung merupakan elemen kebudayaan masyarakat Cina yang membawa tanda kemeriahan dan kegembiraan.

Tetapi bagi umat Muslim, bolehkah tanglung digantung ketika perayaan Tahun Baru Cina dengan tujuan menceriakan kawasan? Mufti Wilayah Persekutuan melalui laman web rasmi tampil menjawab persoalan ini.

Soalan:

Assalamualaikum, apakah hukum menggantungkan tanglung sebagai keceriaan di sesuatu premis persendirian ataupun awam ketika tahun baru cina bagi orang Islam.

Ringkasan Jawapan:

Hukum menggantung perhiasan tanglung adalah dibolehkan selagi mana perhiasan tersebut bukan perhiasan ritual keagamaan atau syiar dan simbol bagi agama lain.

Namun, umat Islam dinasihatkan agar berhati-hati dengan penggunaan tanglung agar tidak mempercayai apa-apa unsur khurafat serta tidak menulis hajat dan doa-doa pada tanglung. Tanglung yang digunakan mestilah bebas dari unsur-unsur tersebut dan dilihat hanya sekadar bahan seni dan budaya masyarakat cina.

Huraian Jawapan:

Penggunaan tanglung amat sinonim dengan sambutan Tahun Baru Cina. Selain Tahun Baru Cina, perayaan ini juga dikenali sebagai Festival Musim Luruh.

Walaupun telah dipraktikkan sejak zaman berzaman, sisi sejarah tanglung bagaimanapun tidak begitu jelas kerana terdapat banyak bersumberkan cerita-cerita lagenda, mitos dan hikayat semata-mata. Adapun sejarah melalui dinasti-dinasti lampau menggunakan tanglung untuk kesenian, kegunaan harian dan perayaan.

Orang-orang timur purba pada Dinasti Han (25-220 Masihi) membuat tanglung dengan lilin dan melilit kelilingnya dengan buluh atau kayu dan menutupinya dengan sutera atau kertas supaya tidak ditiup angin kemudian menjualnya di kedai.

Pada abad keenam Dinasti Sui, tanglung dijadikan persembahan dan pameran untuk menzahirkan kegembiraan sehingga Maharaja Yangdi ketika itu menjemput negara luar untuk menikmatinya.

Dinasti-dinasti seterusnya kemudian memperbesar dan memperluaskan lagi festival tanglung ini selama berhari-hari supaya rakyat boleh menikmati kegembiraan melalui kesenian yang indah. Oleh itu, banyak syair-syair cina yang menggambarkan kegembiraan situasi tersebut.

Kini, tanglung telah dianggap sinonim dengan budaya dan tradisi cina di mata dunia. Bahkan, tanglung masih dibuat dan direka serta dinikmati oleh bangsa Cina di seluruh dunia. Tanglung digunakan sebagai cara mengekspresi artistik kesenian dan perhiasan.

Gambar: AFLS

Tanglung pada sudut pandangan Islam

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

(Surah al-Hujurat: 13)

Ayat suci di atas menjelaskan bahawa kejadian manusia yang ditentukan oleh Allah berdasarkan kepelbagaian bangsa dan etnik. Masyarakat di Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum dan agama sehingga melahirkan adat dan budaya yang pelbagai. Oleh itu sikap toleransi sesama kaum amat penting untuk disemai bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan.

Oleh itu, Islam meletakkan batasan dan garis panduan untuk bertoleransi dengan sesuatu agar tidak melangkaui batasan syariat agama seperti tidak membuat perkara syirik sehingga boleh membawa kepada kerosakan akidah. Sebagai umat Islam, menjauhkan diri daripada segala bentuk ritual keagamaan lain amat dituntut demi menjaga akidah.

Firman Allah SWT:

لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ

Maksudnya: Bagi kami amal (ibadat) kami dan bagi kamu amal (ibadat) kamu.” Yang bermakna kami berlepas diri daripada (ibadat) kamu.

(Surah al-Syura: 15)

Justeru, etika penggunaan tanglung sebagai perhiasan bagi umat Islam perlu diteliti keterikatan tanglung di dalam agama lain sebagai ritual keagamaan atau sekadar tradisi dan kesenian semata-mata. Jika tanglung itu merupakan syiar dan simbol keagamaan bagi agama lain maka Nabi SAW melarang tasyabbuh (menyerupai) dengan elemen tersebut. Kenyataan ini dijelaskan oleh para ulama berdasarkan hadis yang sahih, seperti yang dinyatakan oleh Ali Mulla al-Qari, Kata beliau:

قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – (مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ) : أَيْ مَنْ شَبَّهَ نَفْسَهُ بِالْكُفَّارِ مَثَلًا فِي اللِّبَاسِ وَغَيْرِهِ، أَوْ بِالْفُسَّاقِ أَوِ الْفُجَّارِ أَوْ بِأَهْلِ التَّصَوُّفِ وَالصُّلَحَاءِ الْأَبْرَارِ. (فَهُوَ مِنْهُمْ) : أَيْ فِي الْإِثْمِ وَالْخَيْرِ.

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang menyerupai dengan sesuatu kaum”: atau sesiapa yang menjadikan dirinya menyerupai orang kafir seperti pemakaian dan selainnya, atau menyerupai orang fasik, ahli maksiat atau ahli tasawwuf dan orang-orang soleh. “Maka dia adalah daripada mereka”: Iaitu dalam perkara yang melibatkan dosa dan kebaikan.

Namun, apabila melihat daripada pelbagai versi sejarah berkaitan tanglung yang dianggap sebagai suatu alat tradisi lampu yang mempunyai hiasan kesenian budaya cina adalah diharuskan. Tambahan, penggunaan tanglung pada masa kini lebih kepada berbentuk tradisi dan budaya cina semata-mata. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: Sesuatu hukum berlegar bersama-sama ‘illah (sebab) nya ketika ia ada dan tiada.

Dalam hal ini, unsur-unsur aqidah dan kepercayaan masyarakat Cina yang menjadikan sebab pengharaman penggunaan tanglung telah terhapus pada masa sekarang ini. Ia lebih dilihat sebagai bahan seni dan budaya semata-mata. Maka, ianya bukan lagi boleh dikategorikan sebagai sebuah perayaan keagamaan. Selain itu, sejarah dan mitos yang kabur dan bercampur aduk ini menyebabkan ianya tidak boleh dihukum dengan tetap sebagai sebuah perayaan keagamaan.

[Rujuk Mausu’ah al-Qawaid al-Fiqhiyyah 1/323]

Kesimpulan:

Mufti menyimpulkan bahawa, hukum menggantung perhiasan tanglung adalah dibolehkan selagi mana perhiasan tersebut bukan perhiasan ritual keagamaan atau syiar dan simbol bagi agama lain.

Namun, umat Islam perlu berhati-hati terhadap penggunaannya dan kami menasihatkan agar tidak menggunakannya jika tiada keperluan bagi mengelakkan pandangan negatif, kontroversi dan fitnah terhadap agama.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.