Seorang lelaki hampir pengsan apabila mengetahui bil telefon yang dikenakan terhadapnya mencecah 200,000 pound sterling (RM1,133,755.34) semasa bercuti bersama keluarga selama empat hari di Turki.
Lelaki yang berasal dari Skelmersdale di Lancashire itu mendakwa dia hanya menghantar beberapa e-mel dan menghabiskan hanya 16 minit dalam panggilan telefon semasa perjalanannya ke Marmaris pada bulan Oktober lalu.
Lelaki yang bekerja sebagai jurujual kereta itu menyedari perkara tersebut selepas mendapat panggilan daripada bosnya yang meminta supaya dia mematikan telefon yang diberikan oleh pihak syarikat berikutan bil yang tinggi.
Katanya, dia terkedu apabila syarikat telekomunikasi, BT, memberitahu harga yang dikenakan bagi setiap 43GB yang telah digunakannya.
“Bos saya menelefon dan berkata anda perlu mematikan telefon. Bil agak tinggi sedikit.
”Saya bertanya berapa, dia berkata 100,000 pound sterling (RM566,725.62). Keesokan harinya dia menelefon semula dan berkata, ”matikan telefon sekarang, bil mencecah 192,000 pound sterling (RM1,088,113.19).
Bos lelaki itu dikatakan hampir terduduk apabila dimaklumkan berkaitan bil telefon tersebut selain menambah bahawa ianya merupakan kesilapan daripada komputer.
“Saya melihat pada bil internet telefon yang dibuat oleh dia dan ia meningkat sebanyak 80 pound sterling (RM453.05) setiap 30 saat atau lebih.
”Ia sangat tidak masuk akal. Meskipun dia memuat turun filem-filem terkenal di Hollywood sekalipun, tidak mungkin harganya akan mencapai ke tahap sedemikian,” kata bos lelaki tersebut.
Oleh disebabkan lelaki itu masih berada dalam kontrak perniagaan iaitu merangkumi penggunaan data tidak melebihi 250MB, tiada amaran dikenakan terhadapnya apabila dia melebihi had yang dibenarkan.
Jurucakap BT berkata, mereka bersetuju untuk mengetepikan lebihan caj roaming yang dikenakan terhadap lelaki tersebut.
”Dalam kes ini, pelanggan menggunakan pelan mudah alih BT Business yang termasuk elaun data bulanan sebanyak 250MB.
”Ketika melancong di Turki pula, dia telah melebihi had yang telah dipersetujui iaitu menggunakan 46GB data,” kata jurucakap BT.
Tambahnya, pihak BT telah pun memaklumkan kepada lelaki itu bahawa dia telah melebihi elaun data yang telah dipersetujui sebelum itu.
“Sudah beberapa kali kami maklumkan kepadanya bahawa dia telah melebihi elaun datanya, caj perayauan standard telah dikenakan dan dia perlu menanggung penggunaan data yang tinggi.
“Rekod kami menunjukkan bahawa pelanggan memilih untuk tidak memasukkan had data sebagai sebahagian daripada rancangannya.” kata jurucakap BT tersebut.
“Kami sentiasa mengesyorkan pelanggan memilih had roaming, seperti yang dilakukan oleh kebanyakan pelanggan perniagaan kami.
”Kami juga menggesa pelanggan untuk sentiasa ambil tahu terhadap sebarang pemberitahuan yang telah kami hantar kepada mereka mengenai bil data mereka.” tambahnya lagi.
Sumber: The Mirror