Ahli kumpulan popular Korea Selatan T-Ara iaitu Park Jiyeon dilaporkan bakal mengakhiri zaman bujangnya pada musim sejuk tahun ini. Dia dilapor bakal berkahwin dengan pemain profesional baseball Korea iaitu Hwang Jae Gyun.
Memetik laporan Allkpop, Jiyeon telah berkongsi berita tersebut melalui surat hasil tulisan tangannya sendiri di akaun rasmi Instagram miliknya.
Bersama-sama posting itu, dia turut berkongsikan beberapa gambar dia dengan bakal suaminya iaitu pemain baseball Hwang Jae Gyun.
“Hello, ini Jiyeon. Saya ingin berkongsikan satu berita kepada peminat saya secara langsung. Saya memberanikan diri untuk menulis ini.
“Saya debut pada usia remaja, masa sudah lama berlalu dan kini saya sudah berusia 30-an. Selepas debut, ketika saya masih muda dan takut akan banyak hal dan apabila saya pernah hampir berputus asa dalam masa yang sukar, anda (peminat) sentiasa menghulurkan tangan dan sentiasa menyokong saya dalam diam.
“Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya hingga ke hari ini. Saya ingin memberitahu bahawa saya mempunyai teman lelaki yang saya kenal pada tahun lepas.
“Saya mula berkenalan dengan teman lelaki saya ini melalui kenalan rapat saya dan saya berjanji untuk berkahwin dengannya pada musim sejuk tahun ini.
“Saya ingin berkahwin dengan dia yang selalu mengambil berat tentang saya, menghargai saya dan mengajar saya erti kebahagiaan.
“Saya akan menjalani kehidupan dengan lebih baik bersama-sama teman lelaki yang saya percayai yang selalu ada semasa saya susah dan dialah yang memberi saya bahu untuk bersandar.
“Saya bimbang anda mungkin terkejut dengan berita ini. Lambat laun saya tetap akan berkongsikan berita baik ini dengan anda (peminat) juga.
“Saya sangat gementar semasa menulis surat ini. Saya akan terus membalas jasa anda (peminat) dengan memberi imej yang baik pada masa hadapan.
“Terima kasih atas sokongan dan kasih sayang yang dihantar oleh anda (peminat).
“Terima kasih dan saya sayang anda (peminat),” tulis Jiyeon menerusi surat yang dimuat naik olehnya.
Terdahulu, Park Jiyeon merupakan salah seorang ahli kumpulan popular Korea Selatan iaitu T-Ara. Dia juga pernah popular menerusi sebuah drama Korea Selatan yang berjudul Dream High 2.
Tahniah kepada Jiyeon dan bakal suaminya!
Sumber: Allkpop & IG Park Jiyeon