Gergaji rantai yang kebiasaannya digunakan untuk menebang pokok dan memotong kayu merupakan gergaji mekanikal mudah alih yang menggunakan petrol, elektrik atau bateri untuk berfungsi.
Kita semua sudah sedia maklum bahawa gergaji tersebut sememangnya digunakan untuk tujuan itu, tetapi tahukah anda bahawa ia sebenarnya dicipta bukan untuk menebang pokok.
Agak ‘seram’ kerana gergaji rantai itu pada asalnya dicipta untuk memudahkan proses melahirkan anak.
Siapa yang cipta?
Sebelum mengulas lebih lanjut mengenai cara gergaji rantai itu digunakan untuk membantu ibu-ibu bersalin, mari kita selidiki dahulu mengenai pencipta-penciptanya.
Memetik portal Babygaga, gergaji rantai itu dicipta oleh dua orang doktor iaitu John Aitken dan James Jeffray pada tahun 1780-an untuk membantu memudahkan proses penyingkiran tulang pelvik. Dengan cara itu, mereka tidak perlu mengambil masa yang lama untuk selesaikan proses bersalin tersebut.
Gergaji rantai itu dikuasakan dengan pemutar tangan dan kelihatan seperti pisau dapur zaman moden dengan gigi kecil pada rantai dalam bentuk bujur.
Bagaimanapun, gergaji rantai yang dicipta oleh mereka itu tidaklah seperti zaman sekarang yang lebih besar dan menggerunkan, sebaliknya ia hanyalah gergaji kecil.
Bagaimana gergaji rantai boleh membantu proses bersalin?
Seperti yang diketahui, ada sesetengah kes yang memperlihatkan bayi di dalam perut songsang atau terlalu besar. Disebabkan itu, mereka kadang kala akan tersepit di bahagian pelvik, rawan dan ligamen atau tulang.
Melihat keadaan itu, pakar perubatan pada ketika itu telah mengeluarkan pelvik dari badan si ibu untuk mewujudkan lebih banyak ruang untuk bayi dan ia dipanggil sebagai symphysiotomy.
Prosedur itu dilakukan dengan menggunakan pisau kecil dan gergaji untuk memotong tulang rawan sendi pelvik. Ia biasanya dilakukan di bawah pengaruh bius dan pada peringkat kedua bersalin untuk membuka ‘kawasan’ yang diperlukan.
Pemulihan daripada pembedahan itu sememangnya agak menyakitkan dan Institut Kesihatan Kebangsaan berkata bahawa pesakit akan dapat berjalan semula selepas dua hingga 14 hari pembedahan.
Bagaimanapun, bius tidak tersedia pada abad ke-18 dan pengetahuan perubatan tidak begitu mendalam seperti sekarang, menjadikan proses bersalin sangat berisiko.
Melihat keadaan itu, doktor terpaksa meluaskan kawasan pelvik secepat yang mungkin untuk menyelamatkan nyawa ibu dan bayi walaupun terpaksa memotong tulang.
Tidak lama kemudian, gergaji tersebut digunakan untuk operasi pemotongan tulang lain dan anggota badan di dalam bilik pembedahan.
Ia kemudiannya berkembang menjadi alat kerja kayu apabila orang ramai menyedari betapa cepat dan mudah untuk menggunakannya sehingga menjadi lebih besar dan berkuasa seperti yang dikenali hari ini.
Symphysiotomy tidak lagi dilakukan kerana prosedur pembedahan cesarean telah dianggap lebih selamat.
Sumber: Babygaga