Demi untuk mengelak daripada ditangkap, seorang pelarian dikehendaki yang digelar “Galacia Rambo” bersembunyi di hutan Galicia, Sepanyol sejak Mac 2021 lalu.
Merupakan bekas tentera dan pakar survival Sepanyol, Alfredo Sánchez Chacón telah dijatuhkan hukuman penjara kerana dipercayai telah menembak seorang lelaki berusia 24 tahun hingga menyebabkan kematian pada tahun 1996.
Menurut Oddity Central, ketika itu, pihak berkuasa menghabiskan masa berbulan-bulan menerokai hutan Galicia untuk memburu beliau hingga berjaya menemukannya.
Namun, sewaktu perbicaraan kes sedang berjalan, beliau sekali lagi melarikan diri dari penjara Vigo dengan mencetuskan pergaduhan antara banduan lain.
Kemudian, Alfredo berjaya diberkas sekali lagi pada tahun 2002 dan dijatahi hukuman 17 tahun penjara kerana didakwa membunuh. Bagaimanapun pelarian tersebut didakwa menghilangkan diri sekali pada sekitar Mac tahun lalu.
Pada awalnya, beliau bukanlah melarikan diri dari hukuman penjara namun dibenarkan pulang selama tiga hari untuk berjumpa dengan ahli keluarganya sebelum perlu kembali semula ke penjara pada 15 Mac.
Bagaimanapun, malangnya beliau langsung tidak munculkan diri. Dua minggu kemudiannya pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Menurut Oddity, Alfredo yang sudah berusia 63 tahun itu dikhabarkan telah menyelinap masuk ke dalam salah-sebuah rumah melalui tingkap dengan memanjat dinding. Dikatakan beliau hanya mengambil makanan tanpa menghiraukan dompet yang berisi duit didalamnya.
Salah seorang individu mendakwa pernah melihat kelibat beliau di sekitar taman Negara Fragas Do Eume, Sepanyol tahun lalu. Selain itu, ada juga yang mendakwa bahawa pernah berjumpa dengan Alfredo di garaj rumahnya dan mendakwa ‘Rambo’ itu memukulnya dengan menggunakan kayu di bahagian muka.
Bagaimanapun, beliau akhirnya berjaya diberkas semula pada minggu lalu.
“Dia cuba memecah masuk sebuah rumah di Valdoviño, La Coruña, tetapi didengari oleh pemiliknya, jadi dia bersembunyi di dalam semak.
“Pemilik rumah tersebut tetap berjaga-jaga dan sebaik sahaja mereka melihat dia keluar dari semak, mereka terus memanggil Guardia Nacional.
“Tidak pasti berapa lama dia telah melarikan diri namun beliau tetap perlu meneruskan hukaman lagi beberapa tahun, kecuali jika beliau sekali lagi melarikan diri,” lapor Oddity Central.
Sumber: Oddity Central