IPOH, 10 Feb (Bernama) — Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di Kampung Tawas di sini, bulan lepas.
Tertuduh, seorang lelaki berusia 51 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian seorang wanita berusia 44 tahun, di rumahnya di Lorong Tawas 5, Kampung Tawas antara 26 Jan pukul 10 malam hingga 3.05 petang pada 27 Jan lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azhar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 13 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat dan perubatan.
Sumber: Bernama