Sekurang-kurangnya dua kes Demam Lassa yang berpotensi membawa maut telah dikesan di United Kingdom (UK), penemuan pertama dalam tempoh sedekad.
Agensi Keselamatan Kesihatan di UK mengesahkan bahawa dua individu telah didiagnosis dengan Demam Lassa di England manakala seorang lagi sedang diperiksa.
Mereka semua adalah sebahagian daripada keluarga yang sama, tinggal di Timur England dan baru-baru ini mengembara ke Afrika Barat.
Gejala Demam Lassa bermula dengan sakit kepala, sakit tekak dan muntah, tetapi ia juga boleh menyebabkan berlakunya pendarahan dari mulut, hidung atau faraj.
Sekiranya tidak dirawat dengan segera, penyakit ini boleh berkembang menjadi kejutan, sawan, koma dan pekak sementara.
Salah satu kes di UK sedang dibawa ke hospital Royal Free London NHS Foundation Trust bagi mendapatkan rawatan pakar.
Terdapat beberapa kes lain yang disahkan telah pulih, manakala orang ketiga menerima rawatan di Bedfordshire Hospitals NHS Foundation Trust.
Difahamkan, kes tersebut adalah yang kesembilan dan kesepuluh dikesan di UK sejak tahun 1980 manakala yang pertama dalam tempoh 13 tahun.
Dr Susan Hopkins, ketua penasihat perubatan di UKHSA berkata: “Kami boleh mengesahkan bahawa dua kes Demam Lassa telah dikenal pasti di England dan kemungkinan untuk kes ini berlanjutan masih dalam siasatan.
“Kes-kes itu melibatkan keluarga yang sama dan dikaitkan dengan perjalanan ke Afrika Barat baru-baru ini.
”Kes Demam Lassa jarang berlaku di UK dan ia tidak mudah merebak antara sesama manusia. Risiko jangkitan kepada orang ramai adalah sangat rendah.
”Kami sedang menghubungi individu yang mempunyai kaitan rapat dengan kes sebelum ini untuk membuat pengesahan jangkitan mereka. Ia juga bertujuan untuk memberikan penilaian, sokongan dan nasihat yang sewajarnya.”
Demam Lassa dan Ebola yang terus memberi kesan kepada sesetengah komuniti terutamanya di Afrika Barat merupakan demam berdarah.
Antara simptom kedua-dua penyakit ini termasuklah demam, sakit kepala, sakit otot, lemah, keletihan dan muntah, serta pendarahan dari gusi, mata dan hidung.
Penyakit ini serupa dengan penyakit Ebola dan endemik di kebanyakan negara di Afrika Barat. Ia disebarkan melalui makanan yang tercemar oleh air kencing atau najis tikus yang dijangkiti, serta cecair badan manusia.
Walaupun kebanyakan daripada 300,000 hingga 500,000 orang yang dijangkiti virus ini setiap tahun pulih sepenuhnya, namun sekitar 5,000 telah terkorban disebabkan oleh wabak ini.
Sumber: Mirror UK