Sejak dilanda pandemik COVID-19 lebih dua tahun yang lalu, kita dapat menyaksikan pelbagai perubahan yang berlaku di seluruh dunia termasuk pada sektor ekonomi.
Kini, sesetengah negara telah memberikan kelonggaran penuh kepada rakyatnya untuk menjalani kehidupan dalam keadaan norma baharu dan sektor ekonomi kembali rancak. Bagaimanapun, ada syarikat atau kedai yang tidak mampu untuk bangkit semula dan terus ‘gulung tikar’, mungkin kerana ketiadaan modal.
Terbaru, menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook, Sahran Salleh, sesetengah kedai di Ho Chi Minh, Vietnam yang terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia dipercayai telah tidak beroperasi sepenuhnya dek kerana pandemik.
Menerusi tinjauan yang dilakukan oleh Sahran di kawasan Malaysian Street itu, keadaan dilihat tidak meriah seperti sebelum ini dengan kebanyakan kedai masih lagi ditutup.
Untuk pengetahuan, Malaysian Street menjadi kawasan tumpuan popular bagi pelancong dari Malaysia untuk menjamu makanan halal dan membeli pelbagai barangan termasuk menginap di hotel-hotel di situ. Kebiasaannya, kawasan itu juga akan dipenuhi dengan penjual-penjual di kaki lima dan sangat meriah pada waktu malam.
Bagaimanapun, Sahran yang bekerja di negara itu berkata banyak kedai yang sudah tutup, antaranya DSerai, DNyonya, DDaun, Kampung Pandan Al Amin, Bashiroh dan Mustapha Kareem.
“Ada yang tutup terus, ada yang tunggu pelancong Malaysia datang semula, banyak juga hotel yang tutup terus” katanya.
Tambahnya lagi, kedai telekung dan tudung yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia seperti Sarony, Rohani dan Ay Sha juga ditutup tetapi masih melakukan perniagaan secara dalam talian.
“Kemungkinan bulan Mac atau April pelancong dibenarkan masuk ke Vietnam tetapi bergantung kepada keadaan kes COVID-19,” ujarnya lagi.
Sahran telah berulang-ulik ke Vietnam atas urusan kerja selama dua tahun sebelum berlakunya COVID-19 dan kini dia tiba semula di negara itu sejak dua minggu lalu.
@birubaldi #malaysianstreet #hochiminh #vietnam #malaysia #singapore #covid19 #2022
Sumber: Sahran Salleh