Siakap Keli
Gambar Via Daily Express

Ini 5 Senarai Negara Paling Selamat Untuk Bersembunyi Jika Perang Dunia Ketiga Tercetus

Konflik yang berlaku di antara Rusia dan Ukraine pada ketika ini semakin memuncak dan dilaporkan berada di ambang ‘peperangan yang terbesar’ setelah usaha untuk mencapai penyelesaian dilihat masih lagi tidak berhasil.

Dengan penglibatan Amerika Syarikat (AS) dan NATO, keadaan geopolitik dunia akan menjadi semakin tegang dan hangat sehingga berkemungkinan memberikan kesan buruk kepada pelbagai negara di dunia.

Dalam pada itu, AS dan Britain juga telah memberi amaran kepada Rusia bahawa pencerobohan yang dilakukan boleh menimbulkan krisis jangka panjang kepada negara itu.

Keadaan ini membuatkan masyarakat di seluruh dunia bimbang jika Perang Dunia Ketiga bakal meletus tidak lama lagi. Seandainya ia benar-benar berlaku,  terdapat beberapa negara neutral yang selamat dan menjadi tempat yang sesuai untuk bersembunyi.

Menurut Detik News, Global People Index (GPI) yang diterbitkan oleh The Institute for Economics and Peace telah menyenaraikan negara paling selamat dan aman di dunia pada tahun 2021.

Untuk pengetahuan, GPI ialah laporan yang mengandungi data mengenai langkah keamanan global terkemuka di dunia yang diukur beradasarkan tiga parameter utama iaitu keselamatan dan keamanan komuniti, kewujudan konflik yang berterusan dan ketenteraan.

Berdasarkan senarai GPI itu, berikut merupakan lima negara paling selamat untuk bersembunyi jika berlakunya Perang Dunia Ketiga.

1. Iceland

Iceland dilaporkan terus kekal menjadi negara paling aman di dunia sejak tahun 2008. Negara itu berjaya mengekalkan pencapaian tersebut disebabkan oleh beberapa faktor dan salah satunya adalah kadar jenayah yang rendah di sana.

Ia juga mempunyai indeks hak asasi manusia nombor satu di dunia terutamanya dari segi hal kesaksamaan jantina.

Negara benua Eropah itu dianggap sesuai sebagai tempat persembunyian kerana tidak mempunyai angkatan tentera, jadi ia tidak dianggap sebagai ancaman.

2. New Zealand

Dikenali sebagai negara bermandiri dari segi pengeluaran makanan dan pertanian, New Zealand juga dianggap sebagai salah satu tempat yang paling selamat.

Negara itu sangat unik kerana hidupan liar berbahaya hampir tidak wujud dan kes keganasan juga jarang berlaku.

3. Kanada

Keadaannya yang bergunung-ganang menjadikan Kanada sebagai negara pilihan yang bagus untuk bersembunyi.

Jiran AS ini juga mempunyai lebih daripada 30% bekalan air tawar dunia, menjadikannya sebagai wilayah yang sesuai untuk hidup dan menanam tanaman.

Selain itu, Kanada turut mempunyai daratan yang luas dengan beberapa kawasan yang sanagt jarang mempunyai penduduk atau bahkan tidak berpenduduk seperti wilayah Yukon di barat laut Kanada.

4. Switzerland

Switzerland dilaporkan telah membina lebih daripada 20,000 kubu nuklear di beberapa lokasi rahsia di sepanjang banjaran gunung yang boleh menempatkan lebih 114% penduduknya dan mengelak daripada bencana nuklear.

Selain dikenali sebagai negara yang sangat cantik, ia juga mempunyai gunung-ganang sehingga sesuai untuk dijadikan sebagai negara yang selamat.

5. Ireland

Taburan penduduk di Ireland adalah rendah yang menjadikan negara itu mudah untuk membina tempat perlindungan bawah tanah.

Menariknya, negara ini juga telah membina bunker nuklear yang lengkap untuk meneruskan kehidupan untuk jangka masa yang lebih lama.

Ireland juga adalah negara berkecuali sejak Perang Dunia Pertama, menjadikannya sebuah negara yang diramal tidak akan terkena serangan nuklear sekiranya berlaku Perang Dunia Ketiga.

Itulah senarai lima negara yang selamat dan aman yang diramal menjadi tempat sesuai untuk bersembunyi semasa Perang Dunia Ketiga. Pun begitu, mudah-mudahan Perang Dunia Ketiga tidak berlaku dan semoga kita dijauhkan dari segala bencana.

Sumber: Detik News

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.