Tidak dinafikan kalau bulan puasa atau hujung minggu, juadah ikan pari memang cukup menyelerakan. Ada yang suka ikan pari masak asam pedas, ada juga yang suka bakar dan ada juga yang sup serai.
Bila dipadankan dengan nasi dan ulaman segar serta ikan yang segar memang ‘ngam’ menu makanan tengah hari kita. Silap-silap, orang lalu depan pun tak perasan.
Tetapi pernah tak korang termakan ikan pari yang berbau hancing? Bila dah terkena bau tu mulalah nak ‘jauhkan’ diri dari menu ikan ini kan? Mesti korang semua nak tahu kenapa ikan ini adakalanya berbau hancing kan?
Jadi, hari ini SK nak kongsikan satu fakta menarik tentang ikan pari ini yang dijelaskan oleh Facebook Ini Sains Beb berkaitan kenapa ikan ini berbau hancing dan ‘salasilah’ keluarga ikan ini yang ramai tak tahu.
Ini adalah dilemma yang tidak berkesudahan bagi peminat ikan pari atau ikan tuka. Bila mahu menikmati keenakan ikan empuk tanpa tulang, tiba-tiba dihantui bau yang tidak enak.
Tapi… kenapa agaknya ikan pari berbau hancing?
IKAN PARI

Ikan pari dan ikan tuka adalah sejenis ikan leper yang bersaudara dengan jerung (shark). Kesemuanya dari kumpulan ikan yang digelar ‘Elasmobranchs’. Ikan dari kumpulan ini tidak mempunyai tulang (duri). Sebaliknya, ikan jenis ini mempunyai kartilaj (cartilage) yang membina struktur tubuhnya.
Ada banyak jenis ikan pari yang biasa didapati dipasaran Malaysia. Contohnya pari daun (Pastinachus sephen), pari reben (Taeniura lymma), pari lalat (Neotrygon kuhlii)… jangan tanya bagaimana rupanya tau. Asalkan pari, kita makan saja. Nama tak penting, asalkan sedap.
Jadi, masalahnya sekarang bau hancing yang mengurangi keasyikan sedapnya pari bakar atau asam pedas pari. Ada orang kata, sebab kena kencing. Jadi nak beli pari kena pilih yang terlangkup, bukan terlentang.
“Ada juga yang kata sebab pari tersebut sedang mengalami menstrual. Ehhh… chauvinist betul! Pari jantan pun hancing juga tau.”
Ikan pari adalah ovoviviparous, telur yang telah disenyawakan akan ditetaskan didalam uterus dan disimpan dalam tubuh.
Namun, ia tidak membina plasenta yang melekat pada tubuh ibu dan bergantung sepenuhnya pada nutrisi ibu melalui tali pusat seperti manusia. Anak pari yang menetas mendapat nutrisi dari ‘yolk’ (telur kuning?) sehingga ia bersedia dilepaskan kepersekitaran luar dari tubuh ibunya.
JADI KENAPA PARI HANCING?
Ehh… panjang betul kena baca sebelum dapat jawapan. Ikan pari sebenarnya mengandungi amaun urea yang tinggi dalam tubuhnya. Ini adalah bagi mengimbangi osmolaregulasi ketika berada dalam air, terutama air masin.
Ingat tak osmosis cikgu ajar masa sekolah dulu? Cecair dari kepekatan rendah bergerak melewati membran ke kawasan yang berkepekatan tinggi. Ingat tak?
Kebanyakan ikan-ikan lain mengimbangi osmolariti antara cecair tubuh dan cecair dipersekitaran menggunakan keseimbangan elektrolit ion natrium dan ion klorida (Na+/H+ dan Cl−/OH−).
Ikan air tawar biasanya menyerap ion natrium dan ion klorida melalui insang dan air melalui kulit. Lebihan air akan dikeluarkan dari tubuh melalui urin (air kencing) yang cair.
Ikan air masin pula aktif mengeluarkan ion natrium dan ion klorida dari insang, mengumuhkan air dari kulit dan menghasilkan urin yang pekat dengan garam keluar dari tubuh.
Ikan Elasmobranchs pula menyimpan kompaun organik seperti urea dan and trimethylamine oxide (TMAO) dalam darahnya. Plasma urea dalam ikan ureotelic ini boleh mencapai kepekatan 30%. TMAO berfungsi untuk menstabilkan protein dalam kepekatan urea yang tinggi, mengelakkan dari ikatan peptida protein terurai.
Urea terurai menghasilkan cyanate dan ammonium (NH2)2CO → CNO− + NH4+. Hasil tindakbalas ini seterusnya ditukarkan kepada karbon dioksida dan ammonia. Sama seperti tindakbalas yang berlaku dalam urin kita.
Bau hancing tersebut adalah sebahagian besarnya disumbang oleh ammonia yang meruap.

Ikan pari sememangnya akan menjadi hancing jika dibiarkan lama. Kerana ammonia dari urea tersebut mengambil masa untuk terhasil dalam daging pari yang mati. Jadi, jika mahu membeli pari, pilihlah yang segar. Pari lama akan lebih kuat baunya.
Amaun urea juga tinggi dalam darah dan organ-organ dalaman ikan. Jadi, ikan haruslah disiang dengan betul bagi mengelak lebih banyak urea meresap kedalam daging ikan.
Jika tak tahu nak siang ikan pari, tak perlu malu… mintalah penjual ikan yang baik hati memotong dan membersihkan ikan tersebut untuk kita.
Banyak juga petua yang menyarankan untuk mencuci pari dengan air asam, limau Kasturi atau cuka. Mungkin juga boleh membantu.
Yang penting… keep calm, and enjoy your pari bakar cicah asam. Slurrppp!
RUJUKAN
-Trischitta F, Faggio C, Torre A. Living with high concentrations of urea: They can!
-Niu J, Hu XL, Ip JC, Ma KY, Tang Y, Wang Y, Qin J, Qiu JW, Chan TF, Chu KH. Multi-omic approach provides insights into osmoregulation and osmoconformation of the crab Scylla paramamosain. Scientific reports. 2020 Dec 10;10(1):1-3.
-Good JP, Hazon N. Osmoregulation in elasmobranchs. Osmoregulation and Ion Transport: Integrating Physiological, Molecular and Environmental Aspects. 2009:19-61.
-Hammerschlag N. Osmoregulation in elasmobranchs: a review for fish biologists, behaviourists and ecologists. Marine and Freshwater Behaviour and Physiology. 2006 Sep 1;39(3):209-28.
-Ballantyne JS. Jaws: the inside story. The metabolism of elasmobranch fishes. Comparative Biochemistry and Physiology Part B: Biochemistry and Molecular Biology. 1997 Dec 1;118(4):703-42.
Sumber: Ini Sains Beb