Siakap Keli

Kenapa Ada Tahun Lompat & Macam Mana Nak Kira? Kenali Pengasasnya & Masyarakat Pertama Yang Guna

Setiap empat tahun, kita akan menambah satu hari pada kalender iaitu pada 29 Februari. Tahun tersebut juga dikenali sebagai ‘tahun lompat’.

Secara logiknya, ia merupakan tambahan 24 jam pada kalender untuk memastikan ia kekal seiring dengan pergerakan bumi mengelilingi matahari.

Kita akan bertemu dengan tahun lompat dengan jumlah 366 hari pada tahun 2024 nanti. Jadi, mesti korang nak tahu kenapa tahun lompat ini boleh berlaku? Bagaimana cara pengiraannya pada setiap tahun lompat berlaku?

Meh, ini yang SK nak kongsikan pada korang semua.

Sejak bila bermula?

Tahun lompat yang pertama dipercayai berlaku pada tahun 45 BC. Ia dimulakan Julius Caesar ketika masyarakat Rom terdahulu menggunakan sistem kalendar 355 hari.

Ini gambaran wajah Julius Caesar

Dalam sistem itu, mereka menambah satu bulan yang mempunyai 22 atau 23 hari setiap dua tahun bagi memastikan perayaan jatuh pada musim yang sama setiap tahun.

Bagi memudahkan pengiraan, Julius bersama pakar astronominya, Sosigenes mencipta kalendar 365 hari dan menambah satu hari dalam bulan Februari pada tahun keempat.

Kenapa perlu ada tahun lompat?

Hari-hari lompat ini diwujudkan untuk memastikan kalendar Gregori yang kita gunakan kini selari dengan pergerakan bumi mengelilingi matahari.

Bumi mengambil masa selama 365.242189 hari atau 365 hari, 5 jam, 48 minit dan 45 saat untuk melengkapkan satu pusingan mengelilingi matahari. Ia dipanggil tahun tropika dan bermula pada ekuinoks bulan Mac, detik matahari berada betul-betul di atas garisan Khatulistiwa.

Dalam peristiwa itu, matahari akan berada betul-betul di garisan Khatulistiwa untuk tempoh 24 jam.

Pada hari itu, tempoh masa siang dan malam akan sama panjang iaitu 12 jam bagi seluruh dunia (Planetarium Negara, n.d.)

Namun, kalendar Gregori hanya mempunyai 365 hari setahun. Jika kita tidak menambah satu hari lompat pada 29 Februari hampir setiap empat tahun, kalendar setiap tahun akan bermula 6 jam lebih awal sebelum bumi menghabiskan satu pusingan lengkap mengelilingi matahari.

Kesannya, perhitungan masa kita akan berubah dari tahun tropika dan menjadi tidak selari dengan musim-musim sepanjang tahun.

Dengan sisihan kira-kira 6 jam setahun, musim-musim akan beralih kira-kira 25 hari kalendar dalam tempoh 100 tahun.

Sekiranya ini berlaku, penduduk di Hemisfera Utara akan menyambut hari Krismas di pertengahan musim panas dalam tempoh beberapa ratus tahun akan datang.

Justeru, hari lompat ini diwujudkan untuk memberi bumi masa tambahan diperlukannya untuk melengkapkan satu pusingan lengkap mengelilingi matahari.

Sumber: Earthsky, Thoughtco.com, Timeanddate

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.