Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Pemilik Premis Pelantar Ikan Maut Dalam Kebakaran

IPOH, 16 Feb (Bernama) — Seorang lelaki ditemukan maut dalam kebakaran di pelantar ikan miliknya di Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang di Bagan Datuk, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditemukan dalam pejabatnya di atas pelantar ikan berkenaan dalam keadaan duduk di kerusi.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 8 pagi tadi daripada seorang lelaki yang mengatakan terdengar bunyi letupan di pelantar ikan berkenaan.

“Tiada pekerja lain yang ada semasa kejadian, dan saksi adalah pemilik pelantar bersebelahan yang terdengar bunyi letupan, yang terus membantu memadamkan kebakaran serta menghubungi pihak bomba,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya letupan dipercayai berlaku susulan pemeluwapan bahan mudah terbakar.

“Tiada unsur jenayah dikesan… kes dipercayai akibat kecuaian dari kemalangan dan diklasifikasi sebagai mati mengejut. Lelaki itu dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat esok,” katanya.

Sumber: Bernama

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.