Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Pesakit Ini Dilapor Merupakan Wanita Pertama Di Dunia Yang Dipercayai ‘Sembuh’ Dari Virus HIV

Buat pertama kalinya, seorang wanita di Amerika Syarikat dilaporkan telah sembuh daripada penyakit HIV.

Wanita yang digelar sebagai ‘pesakit New York’ oleh saintis di Pusat Perubatan New York-Presbyterian Weill Cornell di New York City itu telah berjaya melawan virus tersebut selepas menerima kaedah rawatan sel stem.

Wanita itu merupakan manusia keempat yang pernah sembuh daripada HIV di mana sebelum ini, tiga orang daripada penghidap penyakit tersebut adalah lelaki.

Selain itu, pakar turut menemui dua kes wanita yang dapat mengalahkan virus itu secara semula jadi.

Wanita tersebut merupakan seorang pesakit kanser dan telah diberikan rawatan yang bertujuan untuk memerangi kedua-dua penyakit itu sekaligus. Bagaimanapun, rawatan tersebut dianggap sangat berisiko dan ‘tidak selamat’ untuk dilakukan kepada orang yang tidak didiagnosis dengan kanser peringkat akhir.

Bagi melakukan rawatan itu, doktor perlu terlebih dahulu mencari penderma yang mempunyai mutasi luar biasa yang boleh menjadikan mereka tahan memerangi virus tersebut.

Pakar memberitahu NBC bahawa orang yang mempunyai mutasi ini biasanya penduduk di utara Eropah dan hanya satu peratus daripada populasi itu memilikinya.

Doktor kemudian melakukan ‘Transplantasi Kord Haploidential’ yang menggunakan darah tali pusat dan tulang sumsum daripada penderma.

Darah tali pusat membantu melawan kanser berasaskan darah seperti leukemia (yang dihidapi wanita itu) manakala tulang sumsum menyediakan sel stem kepada badan.

Oleh kerana darah tali pusat biasanya tidak berkesan untuk orang dewasa berbanding kanak-kanak, pemindahan sel stem boleh membantu meningkatkan keberkesanannya.

“Peranan sel penderma dewasa adalah untuk mempercepatkan proses engraftment awal dan menjadikan pemindahan lebih mudah dan selamat”, kata Dr Koen van Besien, salah seorang doktor utama yang menilai pesakit New York kepada NBC.

Oleh kerana rawatan sel stem ini selalunya boleh mengakibatkan kematian, pakar tidak akan menggunakannya pada pesakit yang sihat yang mampu bertahan dengan HIV mereka melalui kaedah biasa.

Sebaliknya, mereka memfokuskan rawatan ini kepada orang yang menghidapi kanser di peringkat akhir yang mungkin akan meninggal melainkan campur tangan perubatan utama dibuat.

Saintis menyatakan bahawa terdapat sehingga 50 pesakit yang boleh menerima prosedur itu setiap tahun, daripada lebih satu juta rakyat Amerika yang sedang bertarung dengan HIV.

Wanita terbabit disahkan menghidap HIV pada tahun 2013 dan leukemia pada tahun 2017, menjadikannya seorang calon yang berpotensi untuk mendapatkan rawatan tersebut.

Dia menerima rawatan itu empat tahun lalu dan pada masa sejak kansernya telah pulih, rawatan HIV itu telah dihentikan pada musim sejuk lalu.

Menurut doktor, tubuhnya bertindak balas dengan baik terhadap rawatan tersebut dan ia menunjukkan hasil yang positif.

Walaupun dia telah berhenti melakukan rawatan HIV lebih setahun yang lalu, virus itu tidak muncul semula dalam dirinya. Bahkan, imbasan yang dilakukan terhadap badannya tidak menunjukkan sel HIV yang berpotensi untuk mereplikasi.

Para doktor juga mengeluarkan sel dari badan wanita tersebut dan cuba menjangkitinya dengan virus tersebut di makmal, namun percubaan itu gagal.

Jika beberapa tahun lagi berlalu dan doktor masih gagal menemui sebarang HIV dalam badannya, maka mereka akan mengisytiharkan wanita tersebut ‘sembuh’ daripada virus itu.

“Saya teruja kerana ia ternyata begitu baik untuknya”, kata Dr Yvonne Bryson.

Tambahnya lagi, kes pesakit New York ini telah menambah “lebih banyak harapan dan pilihan untuk masa depan” rawatan HIV.

Sumber: Daily Mail

Aireena Marizan

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.