Siakap Keli
Gambar via YouTube

Teruk Kalau Kena ‘Report’, Ini Padahnya Kalau ‘Berani’ Buang Benda Ni Dalam Sungai

Isu pencemaran air di Malaysia bukanlah perkara baru. Satu per satu episod pencemaran sumber air dilaporkan berlaku di negara ini dan setakat ini tidak menunjukkan tanda-tanda bakal berkesudahan.

Pencemaran air ini boleh disebabkan dari pelbagai faktor. Salah satu daripada penyumbang pencemaran sumber air adalah pembuangan sisa toksik yang dilepaskan ke sungai.

Pun begitu, masih banyak pihak yang tidak bertanggungjawab masih melakukan kerja kotor ini dengan membuang sisa toksik dan bahan buangan terjadual secara haram di kawasan-kawasan sungai.

Sisa toksik dan bahan buangan terjadual

Sisa toksik boleh didefinisikan sebagai bahan buangan yang mengandungi sifat-sifat fizikal, kimia atau biologi yang berbahaya kepada manusia dan alam sekitar. Implikasi pembuangan sisa toksik ini boleh berlaku dalam jangka masa pendek atau jangka panjang.

Sementara bahan buangan terjadual pula boleh dikategorikan kepada beberapa bahagian seperti:

  • Buangan logam dan buangan berasaskan logam (seperti buangan bateri asid plumbum dan sisa daripada pemasangan elektrikal dan elektronik);
  • Buangan yang mengandungi terutamanya juzuk tidak organik yang mungkin mengandungi logam dan bahan organik (seperti asid tidak organik terpakai dan enap cemar berfluorida);
  • Buangan yang mengandungi terutamanya juzuk organik yang mungkin mengandungi logam dan bahan tidak organik (seperti minyak pelincir terpakai, tar atau sisa tar dari loji penapisan minyak atau petrokimia);
  • Buangan yang mungkin mengandungi sama ada juzuk tidak organik atau organik (seperti buangan dakwat, cat, pigmen, lakuer, pewarna atau varnis)
  • Buangan lain iaitu apa-apa sisa daripada pengolahan atau pemerolehan kembali buangan terjadual.

Pembuangan sisa toksik dan bahan buangan terjadual ini bukan sahaja memberi dampak buruk kepada manusia dan alam sekitar yang menjadi mangsa. Malah premis yang didapati terlibat dengan aktiviti tak bertanggungjawab ini juga bakal menerima hukuman yang berat. Boleh berpeluh bila dengar hukuman yang menanti pelaku-pelaku ni.

Nak tahu apa padahnya kalau berani buang sisa toksik dan bahan buangan terjadual ke sungai, ikuti video yang dikongsikan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah ini.

Boleh didenda hingga setengah juta ringgit

Dalam video yang dikongsikan di atas, mungkin anda perasan yang pembaca berita tu ada sebut tentang Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Tapi apa pulak kaitan akta ini dengan pembuangan sisa toksik.

Seksyen 34B dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) menggariskan larangan terhadap penempatan, peletakan dan sebagainya bahan buangan terjadual. Menurut akta ini, tiada seorang pun yang boleh:

  • Menempatkan, meletakkan atau melupuskan, atau menyebabkan atau membenarkan ditempatkan,diletakkan atau dilupuskan, kecuali di  premis yang ditetapkan sahaja, apa-apa buangan terjadual di darat atau ke dalam perairan Malaysia
  • Menerima atau menghantar, atau menyebabkan atau membenarkan diterima atau dihantar apa-apa buangan terjadual di dalam atau di luar Malaysia
  • Mentransit atau menyebabkan atau membenarkan ditransit buangan terjadual tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Jelas Akta berkenaan, Ketua Pengarah boleh memberikan kelulusan bertulis sama ada tertakluk kepada syarat atau tidak bersyarat.

Oleh itu, apa-apa tindakan menerima, menghantar atau mentransit apa-apa buangan terjadual dengan kelulusan yang diperolehi melalui pemalsuan, salah nyataan atau fraud, atau yang tidak mematuhi dengan dokumen yang relevan dalam borang yang ditetapkan adalah satu kesalahan.

Individu yang melanggar seksyen ini boleh didenda tidak melebihi lima ratus atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Hentikan rantaian pencemaran!

Isu pencemaran air ini perlu dibanteras sehingga ke akar umbi. Setiap daripada kita perlu memainkan perananan untuk memutuskan rantaian pencemaran yang boleh mendatangkan mudarat kepada alam sekitar.

Sebarang laporan berkait pencemaran alam sekitar boleh disalurkan melalui hotline Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS) di talian 1-800-88-2727 atau hubungi SPAN menerusi aplikasi WhatsApp di talian 013-3885000.

Aduan secara atas talian juga boleh dibuat melalui e-Aduan JAS dan SPAN di pautan tertera atau e-mel ke alamat [email protected] (JAS) dan [email protected] (SPAN).

Untuk ketahui lebih lanjut tentang pencemaran air, pelbagai tips menarik serta maklumat terkini SPAN, jangan lupa follow laman Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube SPAN di pautan tertera.

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.