Nama rasmi Bangkok, ibu negara Thailand akan bertukar dan dipanggil Krung Thep Maha Nakhon, lapor Bangkok Post.
Pengumuman berkenaan dibuat oleh Pejabat Persatuan Diraja Thailand (ORST).
Walau bagaimanapun, menurut laporan, ‘Bangkok’ masih dikekalkan dan diletak di dalam kurungan di sebelah nama baharu dalam urusan rasmi..
Kabinet telah meluluskan draf pengumuman Pejabat Perdana Menteri mengenai nama negara, wilayah, zon pentadbiran dan mengemas kini ibu kota seperti yang dicadangkan oleh ORST pada hari Selasa lalu.
Berdasarkan laporan, nama rasmi baharu, Krung Thep Maha Nakhon, tidak akan berkuat kuasa sehingga ia disemak oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab meneliti semua draf rang undang-undang.
Pihak kabinet juga dikatakan meminta panel untuk mengambil kira pemerhatian tambahan daripada Kementerian Luar Negeri.
Pengumuman itu telah mengemas kini ejaan negara, wilayah, zon pentadbiran dan ibu kota supaya selaras dengan keadaan semasa dan kemudiannya menyerahkan senarai kepada Pejabat PM untuk mengeluarkan pengumuman tersebut.
Menurut laporan Bangkok Post, draf pengumuman itu juga membatalkan pengumuman Perdana Menteri mengenai nama negara, wilayah, zon pentadbiran dan ibu kota bertarikh 9 November 2001 dan menggunakan pengumuman ORST mengenai nama terkini 1 September tahun lepas.
Dalam pengumuman ORST, Krung Thep Maha Nakhon akan menjadi nama rasmi ibu kota Kerajaan Thailand, namun nama Bangkok akan diletakkan dalam kurungan.
ORST juga dikatakan mengemas kini ejaan rasmi untuk negara lain, termasuk Rom dan Roma untuk ibu negara Itali, perubahan ibu kota Myanmar dari Yangon ke Nay Pyi Taw dan perubahan Kerajaan Nepal kepada Republik Demokratik Persekutuan Nepal.
Timbalan jurucakap kerajaan, Ratchda Dhanadirek berkata tiada apa-apa perubahan dalam penamaan ibu kota itu dan nama Krung Thep Maha Nakhon hanya akan digunakan sebagai nama rasminya.
Menerusi laman Facebook, Pejabat Persatuan Diraja menyiarkan mesej tersebut bahawa kedua-dua nama negeri itu boleh digunakan selepas pengumumannya mengenai pertukaran tersebut mendapat kritikan umum.
Nama Bangkok telah digunakan secara rasmi sejak November 2001 di bawah pengumuman Pejabat Royal Society.
Sumber : Bangkok Post