Seorang wanita hamil di Pakistan membiarkan kepalanya ditanam dengan sebatang paku sebagai ‘petua’ untuk mendapatkan zuriat lelaki, memetik laporan Oddity Central.
Lebih malang lagi, paku tersebut ditanam oleh seorang bomoh yang dia percaya boleh beri jaminan bahawa dirinya akan melahirkan bayi lelaki kelak.
Bagaimanapun wanita itu terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital di Peshawar akibat cedera selepas cuba mengeluarkan paku itu sendiri dengan menggunakan playar.
Menurut doktor yang merawatnya, Dr. Haider Khan, hasil imbasan x-ray menunjukkan paku sepanjang lima sentimeter itu sudah menembusi bahagian atas dahi wanita itu dan hampir mengenai otaknya.
“Wanita ini sedar sepenuhnya, tetapi mungkin mengalami kesakitan yang sangat jelas,” kata Dr Khan yang mengeluarkan objek tajam itu.

Difahamkan, wanita itu mempunyai tiga orang anak perempuan dan kini dia sedang mengandung cahaya mata yang keempat dan juga merupakan seorang bayi perempuan.
Di sesetengah tempat di Asia Selatan, memiliki seorang anak lelaki dipercayai dapat menawarkan jaminan kewangan yang lebih baik kepada ibu bapa jika dibandingkan dengan anak perempuan.
Mungkin disebabkan itulah ibu mengandung itu mempercayai tindakan pelik bomoh berkenaan. Perbuatan bomoh itu juga dianggap seolah-olah sebagai satu ritual yang ‘sahih’.
Pada asalnya, wanita itu memberitahu kakitangan hospital bahawa dia sendiri yang memaku kepalanya atas nasihat seorang bomoh.
Tetapi tidak lama selepas itu, dia membuat pengakuan bahawa bomoh tersebut yang melakukan perbuatan ‘pelik’ itu.
Menurut Dr. Khan, dia percaya objek dipercayai paku itu ditanam menggunakan alatan keras seperti tukul atau objek berat lain.
Kini, pihak polis Peshawar sedang menyiasat dan cuba mendekati wanita itu untuk mencari ‘bomoh’ yang memasukkan paku tajam itu ke dalam kepalanya.
“Kami telah mengumpul rakaman CCTV dari hospital dan berharap dapat menghubungi wanita itu tidak lama lagi,” jelas Ketua Polis Bandar Peshawar, Abbas Ahsan.

Sumber: Oddity Central