Dalam Islam, seorang Muslim diwajibkan untuk mendirikan solat lima waktu atau solat fardhu. Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk mengerjakan solat sunat sebagai pelengkap kepada solat fardhu.
Salah satu solat sunat ini adalah solat sunat rawatib. Solat sunat rawatib didefinisikan sebagai solat-solat sunat yang didirikan sebelum ataupun sesudah solat fardhu lima waktu.
Solat rawatib sebelum solat fardhu dikenali sebagai solat sunat qabliah, manakala solat rawatib yang setelah solat fardhu pula dikenali sebagai solat ba’diah.
Pun begitu, solat sunat qabliah dan ba’diah ini ditunaikan bergantung kepada waktu solat fardhu itu sendiri. Misalnya, solat sunat ba’diah dilarang untuk dikerjakan selepas solat fardhu Subuh dan Asar.
Manakala solat sunat qabliah digalakkan untuk dikerjakan sebanyak dua rakaat setiap kali sebelum solat fardhu dan solat sunat ini boleh juga dilakukan empat rakaat sebelum solat Zohor.

Kelebihan solat sunat rawatib
Menurut sebuah hantaran di laman Facebook Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM), solat sunat rawatib ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri.
Seperti yang diriwayatkan Ummu Habibah R.’Anha yang menjelaskan terdapat dua belas rakaat solat Rawatib sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.”
Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk perbanyakkan solat sunat semampu mungkin tanpa mengira samada ia sunat mu’akkad (ditekankan) ataupun tidak (ghairu mu’akkad).
Sumber: Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)