Pensijilan myGAP (Malaysian Good Agricultural Practice) merupakan satu pengiktirafan kepada pengusaha pertanian yang berjaya melaksanakan Amalan Pertanian Baik (APB) dalam proses pengeluaran hasil tanaman mereka.
Aspek yang diberi penekanan ialah penghasilan makanan yang selamat dimakan dan berkualiti disamping pemeliharaan alam sekitar serta menjaga keselamatan dan kebajikan pekerja. Disamping ianya berperanan dalam mengiktiraf ladang, pensijilan myGAP juga memberi manfaat kepada pengguna dengan memberi pilihan dalam memilih produk pertanian yang lebih selamat dimakan.
Bagi subsektor tanaman, Jabatan Pertanian menjadi agensi pelaksana dalam pensijilan myGAP ini. Pensijilan ini telah diperkenalkan sejak tahun 2002 dan sehingga kini terdapat beberapa skop telah diperkenalkan dibawah pensijilan myGAP yang memfokuskan bidang tertentu iaitu myGAP.AM (Tribus Apini dan Tribus Meliponini) bagi penternakan lebah madu dan kelulut manakala myGAP.TBM (Tanaman Bukan Makanan) memfokus kepada jenis tanaman yang bukan bagi tujuan dimakan seperti pengeluar tanaman hiasan.
Atas keprihatinan kepada keperluan pengguna dan dorongan untuk memberi pengiktirafan kepada pengeluar pertanian yang sanggup memberikan usaha yang lebih bagi meningkatkan mutu hasil mereka, Jabatan Pertanian akan memperkenalkan satu lagi skop baru pensijilan myGAP iaitu myGAP.PF (Pesticides Free).
Skop Pesticides Free ini ialah memberi pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan APB serta TIDAK mengguna pakai racun perosak sintetik dalam proses pengeluaran mereka. Ekoran daripada pertambahan skop ini, pengguna boleh mendapatkan pilihan yang terbaik bagi bahan makanan mereka.
Skop Pesticides Free ini juga diperkenalkan bagi menghargai usaha pengeluar hasil pertanian yang menitikberatkan soal kualiti dan keselamatan produk mereka. Pengusaha begini sanggup mengeluarkan modal yang lebih bagi menjamin hasil produk mereka berkualiti dan yang paling penting ialah, TIDAK menggunakan racun perosak daripada jenis kimia sintetik seperti kebanyakan racun yang terjual di pasaran sekarang.
Usaha mereka dalam menerapkan kawalan perosak secara bersepadu amat dihargai dan digalakkan. Antara usaha berkenaan adalah membina struktur pelindung (green house) bagi menghindari segala jenis perosak mendekati tanaman mereka, mengunakan kaedah yang mesra alam seperti kawalan secara biologi, mengamalkan kawalan secara kultura seperti mengamalkan kebersihan diladang bagi memastikan ladang tidak menjadi perumah kepada perosak.
Kaedah kawalan perosak secara bersepadu
Kaedah kawalan perosak secara bersepadu telah terbukti keberkesanannya sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa. Antara keberkesanannya ialah menjimatkan kos pengeluaran jangka panjang di peringkat ladang, menjaga kepentingan kesihatan dan keselamatan bukan sahaja untuk kepentingan pengguna malah kesihatan dan petani dan pekerja di ladang, mengurangkan pencemaran alam sekitar, dan mengekalkan sistem biodiversiti serta ekologi dalam prestasi yang terbaik.
Sebagai contoh, kawalan perosak secara biologi, didefinisikan sebagai pembasmian makhluk perosak dengan menggunakan musuh semula jadi dan mikroorganisma untuk memerangi perosak dan penyakit tumbuhan, menggunakan lebah untuk pendebungaan semula jadi, dan bio-stimulan yang menyokong serta menguatkan tanaman di atas dan di bawah tanah.
Menurut YBrs. Ts. Azreen bin Basir selaku Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia, Pengawasan perosak ditekankan bagi mengenalpasti perosak yang ada di ladang yang boleh memberi kesan kepada pengeluaran untuk petani mengatur strategi bagi kaeadah kawalan perosak yang terbaik tanpa menggunakan racun kimia sintetik.

Antara kaedah kawalan yang disarankan adalah kawalan secara biologi. Kawalan biologi bermula dengan mengenalpasti musuh semula jadi perosak dan seterusnya dengan eksperimen tentang perumah musuh semula jadi. Setelah agen kawalan biologi dikenal pasti tidak menyerang tanaman yang perlu dilindungi, agen itu boleh diperbanyakkan dan dibawa masuk ke kawasan tersebut.
Selain itu juga kaedah semulajadi seperti menanam tanaman yang dikenali sebagai tanaman penolak yang berfungsi sebagai pagar atau benteng contohnya serai wangi, neam, dill dan lain-lain yang boleh mengeluarkan aroma yang tidak disenangi oleh serangga supaya tidak menghampiri tanaman mereka.
Disamping itu juga tanaman ini ada antaranya merupakan perumah bagi agen biologi contohnya tanaman dill merupakan perumah bagi labah-labah yang merupakan pemangsa kepada serangan perosak.
Beliau juga menyarankan kaedah dan aplikasi lain seperti menyediakan kawasan kebun yang sesuai, pemilihan benih yang baik dan bebas penyakit serta varieti yang rintang, kebersihan ladang, pembajakan, pengurusan air, penggemburan tanah, pembajaan, kaedah menggilirkan tanaman dan juga tanaman selingan, dapat menghalang makhluk perosak daripada mendapatkan makanan serta mendedahkan makhluk perosak tersebut kepada keadaan yang tidak sesuai.
Secara tidak langsung, keadaan ini akan mengganggu perkembangan dan kitaran hidupnya. Selain itu, penggunaan varieti tanaman yang rintang terhadap penyakit juga antara kaedah yang menyokong ke arah pensijilan myGAP. PF. Gabungan beberapa kaedah dan strategi selain penggunaan racun kimia boleh membantu petani mencapai kualiti terbaik dalam menguruskan ladang seterusnya mencapai perlaksanan pensijilan myGAP.PF
Strategi-strategi yang dinyatakan seperti diatas adalah antara Amalan Pertanian Baik dalam pengeluaran makanan bagi mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar dan meningkatkan keselamatan makanan. Ia nya selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) dan pensijilan myGAP. PF bakal memberikan sumbangan penting kepada sekuriti dan keselamatan makanan negara serta menyumbangkan kelestarian alam sekitar.
Justeru, adalah penting untuk memastikan bahawa rantaian nilai makanan negara beroperasi dengan cekap dan efektif dalam persekitaran yang selamat dan terjamin.
Perasmian myGAP. PF di World Expo Dubai 2022
Skop baru myGAP.PF akan dirasmikan oleh, YBTM Menteri Pertanian dan Industri 2022 sempena Minggu Pertanian Mampan (Sustainable Agriculture Week) dalam satu acara Makanan Malaysia pada 21 Februari ini di Malaysian Pavillion, World Expo Dubai gilang gemilang seiring dengan sumbangan myGAP Pesticide Free untuk kelestarian alam sekitar.
Jabatan Pertanian menyeru kepada pengusaha yang memenuhi kriteria skop baru Pesticides Free ini untuk membuat permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan ladang dan seterusnya dapat memberi nilai tambah kepada hasil ladang mereka. Permohonan boleh dibuat melalui semua Jabatan Pertanian diperingkat negeri dan daerah yang berdekatan dengan lokasi ladang bermula 1 Jun 2022.