Seorang pencuri dilapor ingin mencuri sejumlah wang bernilai 200 juta rupiah (RM58,272) di dalam sebuah kereta, namun malangnya terambil beg plastik yang mengandungi lampin pakai buang, memetik laporan kompas.com.
Menurut laporan, kejadian itu didakwa berlaku pada Khamis lalu di Jatibarang, Indonesia.
Semasa kejadian, suspek dipercayai bertindak memecahkan cermin sebuah kereta di bandar itu. Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Jatibarang, Ujang Rohimin.
Beliau berkata, suspek memecahkan cermin kereta milik seorang wanita yang meletakkan keretanya di salah sebuah premis di sana.
Susulan kejadian, pemilik kereta (wanita itu) panik kerana dia ada menyimpan sejumlah wang 200 juta Rupiah di dalam beg warna hitam yang diletakkan di dalam kenderaannya.
“Sebaik sahaja menerima laporan, anggota polis segera melakukan siasatan di lokasi kejadian dan memeriksa segala barangan yang terdapat di dalam kereta.
“Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan membuktikan bahawa apa yang diambil oleh suspek bukanlah beg berisi wang yang disangka-sangkakan.
“Malah beg plastik yang diambil hanyalah berisi lampin, manakala beg dengan sejumlah wang itu ditemui di belakang kereta berkenaan,” katanya kepada Tribun.com menerusi Kompas.com.
Menurut polis itu lagi, suspek masih dalam siasatan pihak polis.
Sumber: Kompas.com