Bagi pasangan pengantin, sudah pasti anda mahu mengabadikan hari bahagia dengan pelbagai kelainan agar dapat diingati bersama hingga ke akhir hayat.
Mengupah helikopter untuk majlis perkahwinan merupakan trend yang semakin berkembang di India dan ramai orang di seluruh negara itu berbelanja lebih daripada Rs100,000 untuk mengupah helikopter selama sejam. Tetapi bagaimana jika anda tidak mempunyai wang seperti itu?
Seorang lelaki di India, Guddu Sharma, mempunyai pilihan yang lebih baik. Mekanik dari Bagaha di Bihar itu telah membelanjakan kira-kira setengah juta Rupee untuk menukar kereta Nano miliknya menjadi ‘helikopter.’

Walaupun diubah suai menjadi helikopter, ia sebenarnya tidak boleh terbang. Tetapi dengan membayar hanya Rs15,000, mereka dapat melakar secebis kegembiraan di hari perkahwinan.
Sekurang-kurangnya itulah yang diputuskan oleh sebilangan besar orang ketika menempah ‘kereta helikopter’nya untuk majlis perkahwinan mereka, menurut laporan media.
“Dalam era India digital ini, inovasi saya adalah contoh India yang berdikari,” kata Guddu kepada media.
Usahawan baru itu berkata, terdapat permintaan yang baik untuk kenderaannya dan trend itu juga semakin meningkat. Malah, ada juga yang telah mula mengubah suai kereta mereka dan menukarnya menjadi ‘helikopter’.
Pada Ogos 2019, seorang penduduk di bandar Bihar telah mengubah suai Nano miliknya, iaitu sebuah kereta yang sedang dikeluarkan oleh Tatas yang telah dihentikan pengeluarannya pada 2018.
“Saya sentiasa mahu membuat helikopter. Tetapi oleh kerana latar belakang saya tidak kukuh, saya telah mengubah suai kereta saya dan memberikan rupa helikopter”, kata Mithilesh Kumar kepada media.
Budaya menaiki helikopter di hari perkahwinan semakin meningkat di seluruh India. Di Gujerat, misalnya, ramai pengantin lelaki mendarat di kampung pengantin perempuan mereka dengan helikopter. Malah, ada yang menabur wang semasa mendarat sehingga membelanjakan beberapa ratus ribu rupee secara tunai.
Sumber: Khaleej Times