Seorang pelajar universiti dilaporkan tergamak membuang mayat bayinya di serambi masjid dalam kejadian yang berlaku pada 22 Januari lalu.
Menurut Tribun News, pelajar berusia 21 tahun itu didakwa telah mengalami keguguran sebelum membuangnya di masjid Dusun Brajan, Desa Tamantirto, Bantul, Kalimantan Tengah.
Ketua Polis Daerah Bantul, AKBP Ihsan berkata suspek telah membungkus mayat bayinya dengan menggunakan plastik dan memasukkannya ke dalam kotak kadbod.
Difahamkan, suspek juga telah meletakkan wang 100 ribu rupiah (RM29.12) dan surat yang mengandungi permintaannya kepada orang ramai untuk mengebumikan mayat bayi berkenaan.
Menerusi surat itu, suspek berkata dia mengalami keguguran pada usia kandungan hampir lima bulan dan dia tidak mempunyai sesiapa untuk bergantung harap.
“Suami saya kerja di Kalimantan Barat, dia sedih mendengarnya tetapi kerana keadaan tidak mengizinkan dia datang ke sini, dia mencadangkan agar saya meletakkan bayi di masjid supaya ada orang yang boleh menguruskannya.
“Bukan saya tidak mahu berjumpa dengan sesiapa di masjid ini secara peribadi, cuma saya tidak mempunyai kekuatan untuk melihatnya (bayi).
“Bayi ini saya serahkan kepada sesiapa yang ingin menguruskan pengebumiannya, sekali lagi saya mohon maaf kerana tidak dapat berjumpa secara peribadi,” kata suspek menerusi surat itu.
Pihak polis telah menahan suspek beberapa jam selepas mayat bayi itu ditemui penduduk.
“Daripada surat itu, kami segera dapat menangkap suspek,” kata Ihsan.
Sumber: Tribun News