Siakap Keli

Jalan Berlubang Tanggungjawab Siapa? Ramai Ingat Semua Tugas Kementerian Kerja Raya, Sebenarnya Tidak, Kena Semak Dulu Jalan Milik Siapa

Mempunyai jalan raya yang baik memang menjadi dambaan sesiapa sahaja tak kiralah di mana negara pun. Jalan raya yang dijaga baik, permukaan yang rata dan tidak berlubang-lubang boleh menjamin perjalanan harian para pengguna sentiasa lancar.

Bukan itu je, kualiti jalan raya juga boleh menentukan hidup dan mati seseorang pengguna. Sampai ke rumah disambut senyum tawa atau air mata oleh keluarga. Memang tiada siapa pun dapat menafikan kepentingan untuk sentiasa memelihara kualiti jalan-jalan yang ada.

Jalan berlubang, JKR tak buat kerja ke?

Jadi, sebagai sesuatu yang dilihat sendiri oleh mata pengguna setiap hari, kalau ada yang tak kena dengan jalan raya, contohnya berlubang, memang cepatlah ia menjadi bualan. Pertanyaan seperti, “bila jalan nak dibaiki“, “JKR tak buat kerja ke”, “kerajaan bila nak turun padang tengok” pasti kedengaran dan pantas berlegar dalam kalangan masyarakat?

Pantang sahaja ada jalan berlubang, tak kira di kawasan kampung ataupun di tengah-tengah bandar, pasti akan menjadi tular. Nama yang biasanya dipersalahkan sudah tentu Jabatan Kerja Raya (JKR) Kementerian Kerja Raya ataupun kerajaan pusat.

Penyenggaraan jalan tanggungjawab pemilik masing-masing

Persoalannya, memang semua jalan yang ada di Malaysia ini memang tanggungjawab JKR di bawah KKR untuk jaga sepenuhnya ke?

Sebenarnya, ramai yang beranggapan begitu. Jalan itu JKR, JKR itu jalan. Tak boleh dipisahkan. Jadi, kalau jalan rosak atau berlubang, maka salah JKR la.

Namun, ramai yang tak tahu bahawa setiap jalan di Malaysia ini ada pemiliknya sendiri dan kesejahteraan jalan itu adalah tanggungjawab pemilik masing-masing. Satu lagi, JKR bukanlah pemilik semua jalan-jalan yang ada di Malaysia.

Jenis-jenis jalan yang ada di Malaysia

Jalan raya yang ada di Malaysia ini boleh dibahagikan kepada lapan :

  1. Lebuh Raya Bertol
  2. Jalan Persekutuan
  3. Jalan Raya Negeri
  4. Jalan Raya Bandaran
  5. Jalan Kampung
  6. Jalan Felda
  7. Jalan Pertanian
  8. Jalan Pulau Pelancongan

LEBUH RAYA BERTOL

 Lebuh Raya Bertol merupakan satu rangkaian lebuh raya moden yang lengkap dengan segala kemudahan dan keperluan bagi mengadakan suatu rangkaian pengangkutan jalanraya yang cepat, selamat dan cekap.

Agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelia dan menyenggara jalan raya bertol ini adalah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

 JALAN PERSEKUTUAN

 Jalan Persekutuan adalah jalan  penghubung antara negeri ke satu negeri dan dilabelkan dengan kod F atau FT. Ia di ketegorikan kepada enam (6) kategori utama, iaitu:-

  1. Jalan Persekutuan Utama (Nombor Jalan : 1-249)
  2. Jalan masuk ke Institusi Persekutuan (FI) (Nombor Jalan : 250 – 499)
  3. Jalan Persekutuan Felda (LKTP) (Nombor Jalan : 1000 – 2999)
  4. Jalan masuk ke Kawasan Perindustrian (Nombor Jalan : 3000 – 3999)
  5. Jalan masuk ke Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW)
  6. Jalan Wilayah Persekutuan Yang Ditetapkan (FD) yang telah diwartakan

 Jabatan Kerja Raya Malaysia merupakan agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya menyelia dan menyenggara jalan tersebut dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Setakat 31 Disember 2019, panjang Jalan Persekutuan adalah 17,896.036 kilometer di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

JALAN RAYA NEGERI

 Jalan Raya Negeri merupakan jalan-jalan penghubung antara Bandar ke Bandar dan dilabelkan dengan kod negeri-negeri berkenaan.

  1. Selangor – Nombor Jalan “B”
  2. Perak – Nombor Jalan “A”
  3. Melaka – Nombor Jalan “M”
  4. N. Sembilan – Nombor Jalan “N”
  5. Johor – Nombor Jalan “J”
  6. Pahang – Nombor Jalan “C”
  7. Terengganu – Nombor Jalan “T”
  8. Kelantan – Nombor Jalan “D”
  9. P. Pinang – Nombor Jalan “P”
  10. Kedah – Nombor Jalan “K”
  11. Perlis – Nombor Jalan “R”

Agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyelia dan menyenggara jalan tersebut adalah Jabatan Kerja Raya Negeri dibawah peruntukan Negeri atau MARRIS.

 JALAN RAYA BANDARAN

 Jalan Raya Bandaran merupakan jalan raya bagi setiap negeri yang disenggara oleh Pihak Berkuasa Tempatan iaitu majlis-majlis perbandaran, dewan bandaraya dan majlis-majlis daerah.

JALAN KAMPUNG

 Jalan Kampung merupakan jalan yang dikategorikan di bawah jalan Negeri. Biasanya ia dibina sebagai jalan raya selorong (iaitu, jalan berturap yang tidak cukup lebar untuk dua kenderaan berselisih), memandangkan kecenderungan kenderaan untuk berselisih adalah jarang berikutan bilangan kenderaan yang sangat kurang, tetapi ada juga jalan kampung yang dibina sebagai jalan dua lorong bagi menampung kapasiti trafik yang lebih tinggi.

Terdapat beberapa agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelia dan menyenggara jalan raya tersebut seperti:

  1. Semenanjung Malaysia – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) & Pejabat Daerah
  2. Sarawak – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) & JKR Negeri
  3. Sabah – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) & Pejabat Daerah
  4. P. Labuan – Perbadanan Labuan

 JALAN FELDA

 Jalan Felda dikategorikan dibawah jalan persekutuan. Kebanyakannya terdapat di penempatan FELDA dan FELCRA di Semenanjung Malaysia sahaja. Jalan tersebut dibina oleh FELDA atau FELCRA dan JKR. Manakala di Sarawak, jalan persekutuan untuk FELDA di Lundu dan untuk SALCRA di Sarikei.

Jabatan Kerja Raya Malaysia merupakan agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya menyelia dan menyenggara jalan tersebut dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

JALAN PERTANIAN

 Jalan Pertanian ialah jaringan laluan yang dibina secara sistematik bagi memudahkan perhubungan dan pergerakan di dalam ladang.

Agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelia dan menyenggara tersebut adalah Jabatan Pengairan & Saliran (JPS).

JALAN PULAU PELANCONGAN

 Jalan Pulau Pelancongan merupakan jalan-jalan yang terdapat dalam pulau pelancongan di (3) negeri (Kedah, Perak, Pahang) atau mana-mana pulau yang diisytiharkan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Pulau Pelancongan.

Agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelia dan menyenggara jalan raya bertol ini adalah Jabatan kerja Raya Negeri dibawah peruntukan Negeri atau Marris.

Lebih 63,000 jalan berlubang telah dibaiki

Mengambil kira saiz jalan persekutuan yang jaraknya mencecah belasan ribu kilometer, memang tak dinafikan akan ada pelbagai masalah yang timbul, seperti jalan berlubang.

Walaupun begitu, ia bukanlah satu alasan untuk KKR melengah-lengahkan kerja pembaikan apabila aduan diterima.

Pada tahun 2021 sehingga Oktober bilangan aduan yang melibatkan kerosakan Jalan Persektuan (aduan kategori A – Jalan Rosak/Berlubang/Tidak Rata/Tidak Siap) di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 397 bilangan aduan.

Bagi tempoh yang sama juga, sebanyak 63,900 bilangan jalan berlubang berjaya ditampal oleh pihak konsesi yang dilantik KKR di Jalan-Jalan Persekutuan seluruh Semenanjung.

Melihat perbezaan kepada jumlah aduan yang diterima dan jumlah jalan berlubang yang ditampal, ia bermaksud KKR secara aktif memantau keadaan Jalan-Jalan Persekutuan sepanjang masa dan berjaya memperbaiki kerosakan melebihi jumlah aduan yang diterima.

Jalan tanggungjawab semua, #KitaJagaJalanKita

Walaupun tanggungjawab untuk menjaga jalan ini hakikatnya terletak di bahu JKR dibawah KKR & Kerajaan Negeri, namun kita sebagai pengguna juga ada peranan yang perlu dilaksanakan.

KKR baru-baru ini telah melancarkan kempen Kita Jaga Jalan Kita sebagai seruan kepada semua pengguna jalan untuk sama-sama memastikan jalan-jalan sentiasa selamat untuk digunakan.

Inisiatif KKR ini tak lain tak bukan untuk memastikan semua jalan-jalan yang ada di Malaysia ini, khususnya Jalan-jalan Persekutuan sentiasa selamat untuk digunakan.

Malah, sebagai tanda kesungguhan KKR, usaha untuk menjadikan jalan-jalan Persekutuan ini selamat diletakan sebagai salah satu inisiatif di bawah KPI Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari Menteri Kanan Kerja Raya.

Sebagai sokongan untuk merealisasikan inisiatif berkenaan, kerajaan melalui KKR telah memperuntukan dana sebesar RM 1.096 bilion untuk kerja-kerja penyelenggaraan Jalan-jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia.

Macam mana nak terlibat dengan kempen ni?

Mudah je, dengan hanya menjadi mata dan telinga kepada KKR, anda boleh menyertai kempen Kita Jaga Jalan Kita ini.

Bila anda melihat ada kerosakan di atas jalan, anda boleh menyalurkan aduan terus kepada KKR melalui JKR menerusi saluran-saluran aduan yang disediakan. Inilah yang dimaksudkan dengan menjadi mata dan telinga kepada KKR.

Untuk memastikan aduan boleh dibuat dengan lebih mudah dan tindakan dapat diambil dengan lebih pantas, KKR telah melancarkan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JKR pada 30 April 2021 lalu.

SISPA JKR berbentuk sistem aduan tunggal yang mana mempunyai fungsi penghantaran email melalui sistem yang mampu mengelakkan situasi double handling. Malah, SISPA JKR ini telah digunapakai oleh semua JKR Cawangan, JKR Negeri dan Daerah bermula 1 Mei 2021 bagi menggantikan sistem aduan lama.

Berikut adalah saluran-saluran yang boleh anda guna untuk membuat aduan mengenai kerosakan atas jalan terutamanya jalan berlubang di Jalan-jalan Persekutuan.

1. Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) SISPAA JKR :
https://jkr.spab.gov.my/eApps/system/index.do atau
SISPAA KKR: https://kkr.spab.gov.my/eApps/system/index.do

2. Emel: [email protected] atau [email protected]

3. Talian Telefon: 1 300 888 557 (Waktu Pejabat)

Jadi, ayuh kita turut serta mengambil bahagian dalam kempen Kita Jaga Jalan Kita ini. Sama-sama kita pantau kemudahan jalan raya, jika ada sebarang kerosakan, segeralah buat aduan melalui saluran yang dikongsikan di atas.

Tindakan pantas kita, mampu menyelamatkan nyawa orang lain.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web dan ikuti media sosial Facebook, Twitter dan Instagram KKR.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.