Seorang mekanik dilaporkan maut selepas dihempap gerabak lori dalam kejadian di kawasan lapang, Jalan Bundusan, Penampang, pada Isnin.
Menurut laporan Astro Awani, mangsa, Suhilin Amat @ Ahmad, 58, yang meninggal dunia di lokasi kejadian, dikatakan sedang membaiki kenderaan itu sekitar jam 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 1.21 petang.
“Kejadian membabitkan seorang lelaki tempatan yang terlibat dalam kemalangan di tempat kerja akibat tersepit di bawah gerabak sebuah lori.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa tersepit di bawah gerabak lori yang disyaki rosak,” katanya.
Tambahnya lagi, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk tujuan calitan COVID-19 dan bedah siasat. Kes itu juga diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah telah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.23 pagi.
Jurucakapnya berkata, mangsa sedang membaiki enjin lori jenis ‘hydraulic’ 10 tan namun dihempap kenderaan itu.
“Operasi mengeluarkan mangsa segera dilakukan sebelum ia ditamatkan pada jam 11.20 pagi,” katanya.
Sumber: Astro Awani