Arab Saudi dilaporkan telah meminda peraturan baharu yang membenarkan golongan lelaki di negara itu untuk memakai seluar pendek di khalayak ramai dan tidak akan dianggap melanggar kesopanan awam kecuali di masjid dan pejabat kerajaan.
Memetik laporan Saudi Gazette, keputusan itu dibuat selepas Menteri Dalam Negeri, Putera Abdulaziz Bin Saud Bin Naif menyeru pindaan pada peraturan adab awam mengikut peruntukan Perkara 7 dan 9 peraturan itu.
Selain kebenaran memakai seluar pendek, menteri juga telah meluluskan penambahan pelanggaran baru kepada klasifikasi pelanggaran kesopanan awam, menjadikan ia kepada 20 pelanggaran, daripada 19 yang diluluskan.
Keputusan itu juga menetapkan denda bagi sesiapa sahaja yang memakai seluar pendek di masjid dan pejabat kerajaan dengan jumlah antara 250 Saudi Riyal (RM278) sehingga 500 Saudi Riyal (RM556).
Peraturan kesopanan awam ini telah berkuat kuasa pada 2 November 2019 dan ia telah diluluskan oleh menteri dalam negeri, dengan mengenal pasti 10 pelanggaran yang membolehkan pesalahnya dihukum denda antara 50 Saudi Riyal hingga 6,000 Saudi Riyal, sebelum ia kini dipinda.
Sumber: Saudi Gazette