Sebagai umat Islam, mencari, mengguna dan memakan makanan yang halal itu adalah salah satu kewajipan yang disyariatkan. Hal ini adalah kerana setiap apa yang dimakan itu akan mempengaruhi gaya hidup kita.
Pepatah Inggeris pernah menyebutkan, “You are what you eat”. Malah di sisi syara’ sendiri, Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada kita mengenai perintah mencari yang halal dan meninggalkan yang haram.
Hal ini bertepatan dengan hadith Baginda Muhammad SAW;
“Wahai Sa’ad! Perbaikilah (murnikanlah) makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang terkabul doanya. Demi yang jiwa Muhammad dalam tangan-Nya (kuasa-Nya). Sesungguhnya seorang hamba yang melontarkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebaikannya selama 40 hari dan siapa pun yang dagingnya tumbuh dari benda yang haram, maka api neraka lebih layak membakarnya”. (Hadis riwayat At-Thabrani)
Umumnya kita mengetahui bahawa satu-satunya badan rasmi kerajaan yang menyelia urusan serta hal ehwal pensijilan halal di negara ini ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sebut sahaja ‘Halal JAKIM’, pasti sudah terbayang akan logonya, kan?

Namun tahukah anda, sebahagian besar negara-negara lain juga turut mempunyai badan pensijilan halal rasmi mereka. Hal ini adalah kerana mahu mencapai seruan Baginda Muhammad SAW iaitu memastikan umat Islam di sana menggunakan sumber yang halal lagi baik.
Cuma pernahkah kita terfikir, bagaimanakah caranya untuk kita memastikan bahawa sesebuah logo halal di luar negara itu benar-benar sah dan diiktiraf oleh JAKIM sendiri? Macam mana pula bagi mereka yang bermusafir atau bermukim di sana?
Menurut JAKIM, sebenarnya amat penting bagi semua pengguna umat Islam untuk mengetahui badan-badan Islam yang diiktiraf di seluruh negara. Ini juga termasuklah tentang badan yang menyelia pensijilan halal.
“Ini dapat mengelakkan pengguna merasa ragu-ragu untuk membeli barangan atau memasuki premis-premis tertentu ketika berada di luar negara.
“Pengetahuan mengenai logo-logo badan Islam yang diiktiraf di luar negara juga penting agar pengguna tidak keliru,” tulis JAKIM dalam laman sesawangnya.
Justeru, mari kita lihat senarai badan-badan Islam antarabangsa yang diiktiraf JAKIM di luar negara. Sebagai pengguna, anda juga boleh menghubungi badan Islam yang diiktiraf itu atau pihak JAKIM untuk mengetahui sebarang maklumat lanjut.
Di bawah ini adalah antara 84 badan Islam luar negara yang diiktiraf JAKIM. Ia meliputi pelbagai negara dari setiap pelusuk benua. Antaranya ialah Thailand, Russia, UK, US sehinggalah ke Brazil dan banyak lagi.
Untuk mengetahui kesemua 84 badan Islam tersebut serta info-infonya dengan lebih terperinci, anda boleh KLIK pada gambar di bawah ini. Semoga bermanfaat!
**fail dilampirkan dalam format PDF. Anda boleh muat turun & simpan untuk rujukan jangka panjang.
Sumber: Laman web JAKIM / JHEAINS