Siakap Keli

Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti 2022

PUTRAJAYA, 21 Februari –  Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) hari ini telah menganjurkan Majlis Aspirasi Ketua Pengarah JPPKK 2022 yang disampaikan oleh YBrs. Ts. Zainab Ahmad, bertemakan ‘Melestari Ekosistem, Mengadaptasi Pendigitalan’ yang diadakan secara hibrid. Majlis turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi JPPKK serta pengarah-pengarah politeknik dan kolej komuniti. 

JPPKK bersama-sama politeknik dan kolej komuniti terus melakar pencapaian yang membanggakan dalam merealisasikan inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti (2018-2025), seiring Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi). 

“Secara umumnya kita meletakkan sejumlah 22 Key Performance Indicator (KPI) pada tahun 2021, semua KPI telah mencapai sasaran yang ditetapkan. Sebanyak 99 peratus institusi telah mencapai skor melebihi 85 peratus. Malahan sejumlah 95 institusi kita mencapai skor 100 peratus”, ujar YBrs. Ts. Zainab Ahmad semasa ucapan Aspirasi 2022.

Pencapaian tersebut adalah berlandaskan kepada beberapa teras utama, antaranya menghasilkan graduan TVET berkualiti. Kayu pengukur utama Graduan TVET Berkualiti dilihat melalui kadar kebolehpasaran graduan. Politeknik dan kolej komuniti berjaya mengekalkan kecemerlangan dimana kadar kebolehpasaran graduan politeknik tahun 2020 adalah pada 91.4 peratus, manakala kolej komuniti mencapai kadar 94.2 peratus

“Tahun lalu saya telah perkenalkan empat inisiatif utama politeknik dan kolej komuniti sebagai satu organisasi, untuk meningkatkan daya tahan atau resilience mendepani cabaran dan meneraju masa depan. Empat inisiatif utama adalah termasuk Majlis TVET Negara, Pemantapan Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT), Pengukuhan Tadbir Urus Institusi dan Pengukuhan PSH Kolej Komuniti”, katanya.

Dalam membentuk insan TVET yang berjaya, Ts. Zainab Ahmad mengajak seluruh warga politeknik dan kolej komuniti untuk menekankan berkaitan KUSAVA. KUSAVA membawa maksud knowledge and understanding (pengetahuan dan pemahaman), skills and application (kemahiran dan aplikasi), values and attitudes (nilai dan sikap). Menurut Ts. Zainab Ahmad, KUSAVA boleh ditanam melalui aktiviti PdP termasuk aktiviti pembangunan pelajar dan interaksi secara formal dan non-formal dalam ekosistem TVET yang bersesuaian di politeknik dan kolej komuniti. 

Elemen KUSAVA juga memastikan pelajar dapat membangun secara holistik, berimbang dan mampu menangani fenomena globalisasi yang mencabar, kuantiti maklumat yang melimpah ruah dan teknologi yang semakin pesat disamping pertembungan peradaban timur dan barat. Ts. Zainab Ahmad turut menyeru agar elemen KUSAVA dapat ditanamkan dalam usaha membangunkan anak bangsa. 

‘Melestari Ekosistem, Mengadaptasi Pendigitalan’ yang merupakan tema bagi aspirasi 2022 kali ini adalah merupakan pendirian yang harus dipegang dalam segala tindakan dan keputusan yang dibuat bagi menjamin kehidupan masa hadapan yang harmoni antara manusia dan alam sekitar. Tiga pemacu utama (key drivers) yang akan memandu arah masa hadapan kehidupan manusia dan sewajarnya menjadi pertimbangan pokok dalam segala keputusan dan tindak tanduk yang akan diambil ialah ecosystem, sustainability (kelestarian) dan digital adoption (penerimaan digital). 

Pada majlis aspirasi ini juga, Ts. Zainab Ahmad turut melancarkan Buku Pelan Tindakan Pemulihan dan Garis Panduan Pengoperasian Politeknik dan Kolej Komuniti, Pasca Pandemik COVID-19. Pelancaran buku ini akan memberi impak kepada pendidikan TVET khususnya dan institusi dapat disampaikan kepada pelajar dengan lebih berkesan dan kualiti pendidikan TVET tidak akan terjejas dengan adanya norma baharu. 

Turut berlangsung dalam majlis yang sama juga ialah Pelancaran Portal Community College Management System (CCMS) oleh Ts. Zainab Ahmad. Ianya merupakan sistem pengurusan berpusat bagi tujuan pengurusan rekod pelajar Kolej Komuniti. Sistem CCMS ini bakal menyediakan maklumat pelajar dan graduan Kolej Komuniti yang lengkap, terkini dan komprehensif sekali gus menjadi sistem utama dalam pengurusan maklumat pelajar dan graduan. 

Pada majlis tersebut juga Ts. Zainab Ahmad turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Institusi. Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dan Kolej Komuniti Selayang telah dianugerahkan Anugerah Institusi Cemerlang Bagi Kebolehpasaran Graduan Tahun 2021. Anugerah Institusi Cemerlang Bagi Pembelajaran Sepanjang Hayat Tahun 2021 pula jatuh kepada Politeknik Ungku Omar dan Kolej Komuniti Taiping. Bagi Anugerah Institusi Cemerlang Bagi Kolaborasi Impak Tinggi Tahun 2021 menjadi milik Politeknik Banting Selangor, Kolej Komuniti Kepala Batas, Politeknik Kuching serta Kolej Komuniti Miri. 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.