Siakap Keli
Gambar hiasan via Shutterstock/Google

“Rambut Mengurai Dengan ‘Gown’ Putih Berdiri Kaku….” Lelaki Kongsi Pengalaman Seram Nampak Kelibat ‘Gadis Urut’ Kat Hotel

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Percutian adalah pilihan yang tepat untuk menghilangkan beban dan tekanan setelah berhempas-pulas di pejabat. Dalam masa sama, percutian juga mampu menggembirakan seisi keluarga, terutama sekali anak-anak.

Selain keputusan di mana tempat percutian sama ada kawasan pulau, alam semulajadi seperti hutan atau kawasan ‘hutan konkrit’, pemilihan tempat penginapan juga penting. Bukan sahaja keselesaan, malah keselamatan juga perlu diambil kira, tambahan pula mereka yang mempunyai anak yang masih kecil. Jangan salah pilih.

Menerusi perkongsian oleh Faizal Hashim dalam Kelab Cerita Hantu Malaysia (KCHM), dia kongsikan pengalaman seram ketika berkhidmat di salah sebuah hotel yang terkemuka di selatan tanah air. Menurutnya, kisah tersebut berlaku sekitar tahun 2000 ketika usianya baru sahaja mencecah 21 tahun.

Nak tahu apa yang seram? Boleh ikuti kisah misteri yang dikongsikan olehnya di bawah ini. Hati-hati, korang sebenarnya tak bersendirian…….

KISAH HOTEL DOT DOT DOT

Tahun 2000 aku melangkah memasuki alam perkerjaan buat pertama kalinya disebuah hotel terkemuka di Jb ketika di usia 21 tahun. Untuk setengah tahun pertama aku memegang jawatan PR Assistant menggantikan seorang gadis yang berhenti kerja.

Kekok lah juga di dalam pejabat yang rata-rata perempuan semuanya. Namun apabila aku mendengar jawatan Graphic Artist ada kekosongan kerana pekerjanya juga ingin berhenti, hatiku melonjak kegembiraan kerana sesungguhnya aku ada sedikit ilmu dalam bidang graphics dan ia bidang yang aku minati.

Ringkaskan cerita, kejadian yang ingin aku kongsi ini berlaku di tingkat 7 bangunan, di kawasan pejabatku setelah aku menjadi Graphic Artist. Aku bertugas bersama seorang rakan yang juga sekelas masa di kolej. Aku beri nama samaran dia sebagai Hokkaido jelah memandangkan dia minat animasi jepun dan muka pun macam jepun.

Bilik pejabat kami ini di tingkat 7, jauh dari pejabat utama yang di tingkat 3 kerana kerja kami ini perlu bermain dengan cat warna, styrofoam untuk buat backdrop events dan pelbagai lagi alat dekorasi hotel yang akan mengotorkan kawasan kerja.

Untuk memasuki bilik pejabatku, perlu melalui ruang bilik permainan kanak-kanak. Di dalam bilik ini lah aku dengar macam-macam kisah dari pekerja pekerja housekeeping yang bertugas malam hari.

Laluan depan bilik permainan kanak-kanak itu adalah ruang laluan menuju ke lif tetamu hotel, ke kolam renang dan juga mesin basuh layan diri. Jadi memang akan sering kali dengar tapak kaki orang lalu lalang.

Tidak ketinggalan juga bau haruman minyak wangi mahal dan bunyi kasut tumit tinggi kerana hotel ini menyediakan perkhidmatan gadis urut sexy yang ehem ehem.. Korang faham sendiri sudahlah.

Bilik pusat urut ini terletak di tingkat 6 namun mereka tidak akan turun di tingkat 6 jika melalui lif tetamu. Ini untuk memberikan imej hotel yang baik pada tetamu hotel yang di dalam dewan serbaguna dan yang menjamu selera di restoran cina di tingkat 6 tersebut.

Mereka akan berhenti di tingkat 7, kemudian jalan ke tangga hujung untuk turun ke tingkat 6 ikut jalan belakang yang tidak dilihat tetamu hotel. Ada beberapa kali aku dan Hokkaido disoal akak housekeeping tentang pukul berapa kami pulang. Kami kata macam biasalah selewatnya jam 6.

“Oh ye ke? Akak ingat korang stay back OT untuk function kat bawah tu. Sebab semalam dari dobi depan tu akak nampak mcm ada budak main kat playroom tu. Tapi bila pergi dekat, dah tak nampak. Mungkin khayalan akak saja kot” kata Kak Ida.

Pada mulanya aku dan Hokkaido abaikan saja cerita dan soalan Kak Ida itu tapi minggu berganti bulan makin kerap pula soalan yang sama dan kisah yang sama dari dia serta kali ini kawan-kawan 1 department dan pengawal keselamatan yang membuat rondaan.

Makin kecoh bila ada yang kata nampak seperti ada pusaran angin di dalam playroom kanak-kanak itu. Gelak ketawa anak kecil kedengaran namun tidak kelihatan apabila mendekati bilik itu.

Kemuncak kisah hotel ini bilamana, ketika Kak Ida berdiri di depan mesin basuh layan diri itu pada suatu malam yang agak lewat. Pantulan cermin bulat mesin basuh memperlihatkan seorang wanita rambut paras pinggang memakai gown putih panjang sedang berdiri kaku di belakangnya.

Kak ida mulanya melihat sekali imbas saja dari bayangan cermin mesin basuh itu kerana menyangka itu adalah salah seorang dari gadis urut di tingkat 6 yang sedang menunggu giliran untuk menggunakan mesin.

Tetapi dia mula tersedar dari lamunan apabila hidungnya menghidu bauan haruman yang lain dari kebiasaan. Bukan haruman minyak wangi mahal tetapi lebih kepada haruman bunga segar. Bunga bunga yang biasanya didapati di kuburan. Bau bunga macam itulah.

Dengan pantasnya dia menoleh kebelakang dan tersentak apabila mendapati tiada sesiapa pun di belakangnya. Dia meluru keluar dari lorong tempat dobi itu menuju ke laluan tangga tempat gadis urut selalu berjalan turun ke tingkat 6. Tetapi langsung tidak kelihatan seorang pun.

Dia berkata kepada dirinya takkanlah dalam berapa saat gadis urut itu dah bole sampai ke tangga hujung tu tanpa kedengaran bunyi kasut tumit tinggi nya itu. Mustahil dia bole berlari sepantas itu. Ya tiada siapa disitu.

Yang ada hanya deruan angin dingin menyucuk, dari kolam renang meniup masuk ke koridor laluan itu serta haruman bunga yang semakin kuat menusuk hidung.

Panjang lagi sebenarnya jika aku nak menaip tapi aku akhiri disini sajalah dengan penutup antara kisah kisah lain adalah, hotel guest komplen ada bunyi kocakan air seperti orang yang amat berat, terjun dari tempat tinggi di kolam renang di malam hari sedangkan kolam renang di tutup jam 7 malam.

Katanya lagi jenguk dari balkoni bilik, tidak menampakkan 1 manusia pun di kolam itu. Pengawal keselamatan juga tidak menemui tanda tanda ada orang terjun di kolam kerana sektiar kawasan kering sahaja.

Tidak ketinggalan kes tukang kemas bilik wanita yang hanya tercegat berpaling memandang ke dinding bilik, diam membisu apabila disapa oleh rakan sekerja dan pengawal keselamatan. Seketika saja mereka keluar bilik untuk ambil barang, wanita tadi sudah ghaib entah ke mana.

Aku akhiri kisah hotel ini bila akhirnya bilik pejabat aku itu dapat juga ‘makan darah’. Titisan darah pekat yang sudah kehitaman dilihat dari karpet getah playroom kanak-kanak itu hinggalah ke dalam bilik pejabat aku.

Masa tu Hokkaido cuti dan rupanya itu adalah darah beliau cedera terkena pisau ketika membuat ukiran styrofoam di waktu aku cuti. Agak parah jarinya.

Alhamdulillah sepanjang 3-4tahun kami disitu, tidak pernah melihat secara terangan tetapi mendengar bunyian pelik menyeramkan dan rasa diperhatikan, memang agak kerap berlaku.

Hotel itu pun sekarang dah gempak cantik sangat. Berdepan pula mall yang megah dengan pemandangan Woodlands Singapore di hadapan.

Aku malas nak sebut nama hotel. Pandai pandailah buat tekaan dan andaian sendiri. Sekali lagi aku mohon maaf kerana tidak seram sangat kisah ini. Hanyalah pengalaman kisah benar bertugas di hotel. Sekian wassalam.

Sumber: Faizal Hashim melalui Kelab Cerita Hantu Malaysia

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.