Sejak kebelakangan ini, banyak kita dengar insiden kanak-kanak terjatuh dan kemudiannya terperangkap di dalam perigi yang berakhir tragedi.
Kejadian yang hampir sama turut terjadi pada bulan Oktober 1987 di Texas, Amerika Syarikat, melibatkan seorang bayi perempuan berusia 18 bulan.

Bayi malang diberi nama Jessica McClure Morales atau dikenali sebagai ‘Baby Jessica’ ini dilaporkan terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam 22 kaki (kira-kira 6.7 meter) di belakang rumah ibu saudaranya di Midland.
Pasukan penyelamat sempat mengalami kesulitan untuk mengeluarkan Jessica. Keadaan sekeliling perigi yang berbatu menyukarkan misi menyelamat sehingga alat gerudi penggali minyak tempatan dan pasukan penyelamat juga tidak mampu menembusinya.


Oleh kerana mulut perigi terlalu sempit dan hanya berdiameter lapan inci (20 sentimeter), tidak memungkinkan untuk pasukan penyelamat turun ke dalam perigi dan mengambil Jessica.
Mereka terpaksa menggali perigi dari arah sisi dan membentuk terowong dengan bantuan waterjet bertekanan tinggi bagi menembus bebatu.
Setelah 58 jam bertungkus lumus untuk sampai ke lokasi Jessica terperangkap, bayi tersebut berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.


Jessica ditemui dalam keadaan di mana sebelah kakinya terlipat ke muka dan tangan kanan melekap pada wajahnya.
Walaupun berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat, Jessica dilaporkan mengalami kecederaan sehingga perlu menjalani 15 sesi pembedahan selepas insiden itu termasuk kehilangan salah satu jari kakinya.

Jessica yang kini telah berusia 35 tahun mengaku tidak begitu mengingati peristiwa berkenaan dengan jelas, namun kesan parut setelah kejadian itu masih berbekas di dahinya.
Sumber: DailyMail