Masjid dianggap sebagai rumah Allah SWT yang perlu dipelihara dan dijaga dengan sebaiknya. Ia memiliki peranan penting dalam sejarah perkembangan umat Islam.
Selain menjadi tempat untuk menunaikan solat, masjid juga sering dimanfaatkan untuk proses mengajar Al-quran dan berfungsi untuk mewujudkan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat.
Bercakap mengenainya, baru-baru ini tular mengenai perkongsian seorang pengguna Facebook, Saif Suhairi yang memaparkan suasana di sebuah masjid di Amerika Syarikat.
Menerusi perkongsiannya itu, kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang bermain dengan bebas di dalam masjid sehingga mengejutkan seorang rakannya yang baru tiba dari Malaysia.

“Bawa kawan baru datang dari malaysia tadi. Terkejut dia dalam masjid orang tua bagi budak budak main dalam masjid. Main nerf gun , ping pong dan sebagainya.
“Paling budak-budak suka main PS4,” kata Saif.
Katanya lagi, rakannya itu juga terkejut bila melihat orang ramai di sana yang sudah tidak memakai pelitup muka.

“Tapi yang dia paling terkejut bila tengok orang main rapat-rapat, ramai tak pakai mask dah termasuk solat saf rapat. Katanya dah dua tahun tak jumpa suasana macam ni,” katanya.
Ketika dihubungi SK, Saif memberitahu bahawa dia dan keluarganya telah tinggal di Newark, Delaware sejak tahun 2020.
Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi warganet dan telah dikongsi oleh 2.4 ribu orang di Facebook. Rata-ratanya dilihat berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing.
Sumber: Saif Suhairi