Siakap Keli
Gambar: The Mirror

Diculik Sejak Lahir Selama Dua Dekad, Remaja Berjaya Disatukan Semula Dengan Keluarganya

Sepasang suami isteri telah berjaya disatukan semula dengan anak lelaki mereka yang diculik 16 tahun lalu dari hospital ketika baru dilahirkan.

Ibu Rosalia Lopez dan bapa Yasir Macias, dari Mexico, telah menantikan saat bahagia itu selama dua dekad untuk bertemu semula dengan anak lelaki mereka, Salvador.

Menurut laman berita El Informador, Salvador telah diculik dari sebuah hospital di bandar Guadalajara di Mexico oleh seorang wanita yang berpura-pura menjadi jururawat pada 15 Disember 2005, iaitu ketika Rosalia berusia 22 tahun.

Ketika kejadian, suspek telah memberitahu Yasir bahawa waktu melawat telah tamat dan dia perlu membawa bayi itu untuk diberi makan. Malangnya, itu adalah kali terakhir pasangan itu melihat bayi mereka yang baru lahir sehingga kini.

Selepas bertahun-tahun siasatan dijalankan, pada September 2021, Institut Sains Forensik Jalisco (IJCF) telah menjalankan analisis perbandingan muka berdasarkan gambar kanak-kanak itu untuk menentukan rupa dia hari ini.

Beberapa bulan kemudian, penyiasat telah menjumpai seorang lelaki muda yang sihat dengan ciri yang hampir sama dengan hasil analisis wajah mereka.

Pegawai penyiasat tersebut telah menjalankan ujian am ke atas remaja itu, Rosalia dan juga Yasir bagi mengesahkan hubungan genetik mereka dan hasil ujian tersebut mempunyai padanan sebanyak 99.99 peratus.

“Agensi Kementerian Awam telah memperoleh hasil laporan pakar, yang mengesahkan 99.99 peratus bahawa kanak-kanak di bawah umur itu mempunyai padanan langsung dengan ibu dan bapa yang telah dimaklumkan”, kata Pejabat Pendakwa Negeri dalam satu kenyataan.

Walaupun Pejabat Pendakwa Negeri berjaya mengesan remaja itu, penyiasat masih lagi berusaha untuk mengetahui dan menjejaki dalang di sebalik penculikan tersebut kerana sehingga kini tiada seorang pun yang ditahan atas jenayah itu.

Sementara itu, Gabenor Jalisco, Enrique Alfaro sempat menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sains Forensik dan Penyelaras Keselamatan atas kerja keras mereka serta beliau turut memuji badan yang berkaitan kerana menyatukan semula keluarga berkenaan.

Sumber: The Mirror

Aireena Marizan

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.