Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Lelaki Dipercayai Langgar Warga Emas Hingga Mati Untuk Berhubungan Seks Dengan Mayatnya

Seorang lelaki berusia 29 tahun yang didakwa atas kejadian langgar lari membabitkan seorang warga emas berusia 64 tahun disyaki membunuh wanita itu dengan sengaja supaya dia boleh melakukan hubungan seks dengan mayatnya, kata pendakwa raya.

Pejabat Syerif Daerah Van Buren berkata, tertuduh pada mulanya didakwa sengaja melanggar mangsa dengan keretanya hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke lokasi lain.

Pun begitu, pihak pendakwa raya meminda pertuduhan itu kepada pertuduhan membunuh selepas penyiasat mendedahkan bahawa tertuduh ada melakukan pencarian pornografi berkaitan nekrofilia sejurus selepas kematian mangsa.

Sebelum itu, mangsa telah dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada September lalu selepas didapati dia tidak pulang selepas berjalan kaki di luar Perkhemahan Oak Shores.

Setelah melihat sekeliling kawasan di mana mangsa biasa berjalan, salah seorang penyiasat telah menemui beberapa barang miliknya dan kesan tergelincir yang menunjukkan mangsa telah dilanggar oleh kenderaan.

Tertuduh didakwa melanggar mangsa dengan keretanya dan mengambil beberapa barang serta telefon bimbit milik mangsa yang berjaya dikesan polis pada hari berikutnya di tempat letak kereta Walmart di Perbandaran Oshtemo.

Semasa ditahan, tertuduh didapati masih menggunakan kereta yang sama, iaitu Ford F-150 keluaran 2013 dan ia mengalami kerosakan ‘teruk’ pada bahagian hadapan.

Polis mendakwa bahawa tertuduh membawa mayat mangsa ke lokasi kedua, iaitu di sebuah taman awam yang besar dengan ratusan ekar pokok dan berhutan untuk melakukan perbuatan seksual dengannya di sana.

Bagaimanapun, tertuduh telah dibebaskan dengan ikat jamin $300,000 sejak September selepas dia didakwa atas tuduhan membunuh dengan kenderaan bermotor, gagal berhenti di lokasi kemalangan yang mengakibatkan kematian dan menyembunyikan mayat mangsa.

Semasa perbicaraan terbaharunya, penyiasat mendedahkan bahawa sejarah carian tertuduh menunjukkan dia mencari pornografi yang melibatkan wanita mati atau tidak sedarkan diri sejurus selepas mangsa dilaporkan hilang.

Menurut penyiasat, DNA tertuduh dan mangsa juga dijumpai pada kondom yang ditemui dalam kenderaan tertuduh dan tong sampah berhampiran rumahnya.

Hakim Mahkamah Daerah Van Buren, Michael McKay menafikan ikat jamin untuk tertuduh yang kini ditahan di Penjara Van Buren County. 

Sumber: Daily Mail

Aireena Marizan

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.