Tahukah korang? Di rumah kos sederhana boleh jimatkan elektrik sehingga 20% atau RM124.76 setiap tahun dari satu kelengkapan elektrik cekap tenaga, contohnya penyaman udara di rumah. Mungkin ada yang rasa RM124.76 tu sikit tapi kalau didarab-darab, buat apa buang duit kalau boleh simpan? Betul tak?
Buat apa susah-susah jimatkan penggunaan tenaga?
Banyak kali kita dengar pesanan-pesanan khidmat masyarakat yang memberi kesedaran akan kepentingan penjimatan elektrik dan kecekapan tenaga. Tapi, apakah sebenarnya kecekapan tenaga?
Kecekapan tenaga bermaksud menggunakan tenaga elektrik yang minimum bagi menyempurnakan hasil kerja yang sama, samada di rumah atau di tempat kerja sekaligus memberi kesan pengurangan perbelanjaan penggunaan elektrik tanpa mengurangkan keselesaan dan kemudahan sedia ada.
Senang cakap, kecekapan tenaga ini merujuk kepada penggunaan tenaga yang cermat, berhemat dan bijaksana. Sebagai pengguna, amalan kecekapan tenaga ini boleh:
- Mengurangkan bebanan bil elektrik bulanan terutama apabila banyak aktiviti dilakukan di rumah,
- Menjimatkan kos sara hidup,
- Memelihara alam sekitar dengan pengurangan pembebasan karbon selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau dalam negara sebanyak 45% menjelang 2030,
- Mengelakkan pembaziran dan memastikan kelangsungan bekalan tenaga pada masa hadapan di mana sumber bahan api kini semakin berkurangan.
Kenapa penting untuk kita guna kelengkapan elektrik dengan label cekap tenaga?
Label cekap tenaga ini bertujuan memberi maklumat yang lebih terperinci dalam membantu pengguna membuat pilihan terhadap kelengkapan elektrik yang cekap tenaga. Bintang pada label menunjukkan kadar prestasi penggunaan tenaga sesuatu kelengkapan elektrik.

Label yang mempunyai taraf 2 bintang menunjukkan kelengkapan elektrik tersebut mempunyai kecekapan tenaga yang paling rendah dan taraf 5 bintang menunjukkan kelengkapan tersebut mempunyai kecekapan tenaga yang paling tinggi.
Sehingga kini terdapat lapan (8) kelengkapan elektrik yang telah mempunya label cekap tenaga iaitu penyaman udara, peti sejuk, televisyen, kipas domestik, lampu, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro dan periuk nasi. Skim pelabelan ini dilaksanakan di bawah seliaan Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan kerjasama SIRIM.
Di bawah ini pula adalah contoh program kempen label tenaga dari luar negara.
Sekarang dah reti nak kenal pasti kelengkapan elektrik dengan label cekap tenaga kan? Jadi, apa lagi kita boleh buat untuk jimatkan tenaga?
- Gunakan mentol lampu yang cekap tenaga seperti lampu kalimantang T5, lampu kalimantang mampat (CFL) atau lampu LED. Penjimatan yang dapat dihasilkan termasuk dari segi jumlah lampu yang perlu digunakan serta jangka hayat lampu.
- Gunakan kelengkapan elektrik cekap tenaga yang menerima penarafan Minimum Energy Performance Standard (MEPS) serta dilekatkan dengan Label Cekap Tenaga. Label ini memberikan maklumat berkenaan tahap prestasi penggunaan tenaga sesuatu kelengkapan elektrik tersebut. Lebih banyak bintang dalam label, lebih cekap tenaga kelengkapan Harga bagi kelengkapan elektrik cekap tenaga mungkin lebih mahal, namun ia lebih menjimatkan dalam jangka masa panjang.
Tujuh tips ‘kecil’ lain untuk menjimatkan tenaga tapi bagi kesan besar untuk kita semua
-
Jangan tinggalkan kelengkapan elektrik dalam keadaan mod sedia (standby mode). Ini termasuk TV, komputer dan sebagainya, yang seringkali ditinggalkan dalam standby mode bagi memudahkan penggunaan. Kelengkapan yang ditinggalkan dalam keadaan standby mode sebenarnya masih menggunakan elektrik.
-
Tutup atau OFF kan modem internet semasa ia tidak digunakan khususnya pada waktu malam.
-
Pemasangan penyaman udara dengan saiz kapasiti yang betul mengikut keluasan ruangan bagi membolehkan penyaman udara beroperasi secara optimum dan menjimatkan tenaga.
-
Tutup tingkap dan pintu ketika menggunakan penyaman udara. Ini bagi mengelakkan pelepasan udara sejuk melalui pintu dan tingkap, seterusnya mempercepatkan proses penyejukan ruang.
-
Tetapkan suhu penyaman udara pada 24 darjah Celsius atau lebih.
-
Gunakan pencahayaan dan pengudaraan semulajadi di mana mungkin. Contohnya buka tingkap dan langsir pada waktu siang bagi membolehkan cahaya dan udara dari luar masuk.
-
Pastikan kelengkapan elektrik sentiasa dalam keadaan bersih daripada habuk dan kotoran untuk mengelakkan penggunaan tenaga yang berlebihan. Penyelenggaraan kelengkapan elektrik juga perlu dilakukan mengikut jadual bagi memastikan kelengkapan elektrik tersebut berfungsi dengan baik. Sebagai contoh, bersihkan penapis udara bagi penyaman udara setiap 3 bulan sekali.
Selain memastikan bekalan elektrik mencukupi, selamat dan terjamin pada harga yang berpatutan, ST juga sering mempromosikan penggunaan tenaga secara cekap bagi pemeliharaan alam sekitar. Jadi, kita sebagai pengguna perlu memainkan peranan dengan mengambil langkah-langkah mudah seperti di atas. Sekiranya kesemua tips-tips ini dilaksanakan dengan berterusan, setiap isi rumah dapat menjimatkan sehingga 20% daripada bil elektrik kita.
Cuba kita buat pengiraan secara ringkas bagi penggunaan satu penyaman udara hawa dengan 1.5 kuasa kuda (horsepower) menggunakan 1119 Watts tenaga elektrik untuk beroperasi. Manakala, bagi penyaman udara 20% cekap tenaga menggunakan 895 Watts tenaga elektrik untuk operasi, kaedah pengiraan luas kecekapan tenaga seperti berikut:
Bil tahunan adalah:
Biasa
= 1.119 kW x 365 hari x 7 jam x RM 0.218 (kadar per kWj) = RM 623.27
Cekap Tenaga
= 0.895 kW x 365 hari x 7 jam x RM 0.218 (kadar per kWj) = RM 498.51
Pengiraan ringkas ini menunjukkan setiap tahun kita dapat berjimat sebanyak RM124.76 dalam bil elektrik, jika menggunakan penyaman udara yang cekap tenaga.
Untuk makluman, ST juga ada menyediakan risalah bagi menggunakan tenaga dengan cekap. Risalah bertajuk “Energy Efficient Appliances and the Energy Label” ini boleh didapati di laman web ST dan boleh dimuat turun secara percuma.
Untuk sebarang maklumat lanjut atau sekiranya terdapat mempunyai pertanyaan, mereka boleh dihubungi melalui:
- Talian Bebas Tol: 1-800-2222-78 (ST)
- Telefon: 03 8870 8500
- Facebook page: Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission of Malaysia)
- Instagram: st_malaysia
- Twitter: ST_Malaysia
- Laman web www.st.gov.my
Nasihat untuk pengguna, jadilah bijak tenaga. Gunakan tenaga dengan cekap, selamat dan berhemah untuk diri kita dan generasi akan datang.